Leptospirosis: Taman Rekreasi Ulu Bendul ditutup sementara

Leptospirosis: Taman Rekreasi Ulu Bendul ditutup sementara

am@hmetro.com.my

Seremban: Taman Rekreasi Ulu Bendul Kuala Pilah dekat sini, ditutup sementara mulai Ahad lalu sehingga 17 Mei ini.

Ia selepas Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pusat Kesihatan Daerah (PKD) menerima tiga notifikasi kes disyaki leptospirosis dilaporkan sejak Sabtu lalu.

PKD itu dalam satu kenyataan menjelaskan, verifikasi kes dijalankan pada hari sama dan mendapati kesemua kes mempunyai sejarah pergi ke lokasi berisiko jangkitan leptospirosis iaitu di Taman Rekreasi Ulu Bendul Kuala Pilah.

“Hasil siasatan mendapati kes membabitkan satu keluarga dan mereka ke taman rekreasi itu pada 1 Mei.

“Setakat ini, lima ahli keluarga terdedah berusia empat hingga 10 tahun dengan kadar serangan sekitar 60 peratus,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, individu berkenaan dipercayai mandi dalam tempoh enam jam antara jam 10 pagi hingga 4 petang di kawasan sungai semula jadi.

Katanya, keadaan di kawasan rekreasi adalah sesak dengan pengunjung manakala sumber makanan dan minuman dibawa sendiri.

“Mereka mengalami gejala demam, menggigil, sakit sendi, sakit abdomen, loya, muntah dan cirit-birit.

“Mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuarters KLIA pada 8 Mei.

“Sumber air atau tanah yang disyaki tercemar di lokasi rekreasi berpotensi sebagai punca jangkitan, namun semua pesakit atau mangsa diberikan antibiotik dan dipantau di klinik pesakit luar,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, terdahulu penilaian risiko dijalankan oleh Unit Kawalan Penyakit Berjangkit PKD Kuala Pilah membabitkan kawasan seliaan Jabatan Perhutanan dan Majlis Daerah Kuala Pilah di Hutan Rekreasi Ulu Bendul pada 16 April.

Menurutnya, hasil penilaian risiko mendapati Taman Rekreasi Ulu Bendul memperoleh markah 32.7 peratus yang mana risiko adalah rendah.

Katanya, aktiviti pensampelan tanah dan air juga telahdijalankan dan analisa makmal mendapati satu sampel tanah di kawasan Taman Rekreasi Ulu Bendul disahkan positif kehadiran bakteria patogenik leptospira.

“Kontak kes diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan rumah dan pendidikan kesihatan sudah diberikan kepada semua yang terbabit.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesahkan punca jangkitan.

“Pemantauan ke atas kontak rapat dan kawasan terbabit akan dilakukan bagi membendung penularan wabak.

“PKD Kuala Pilah akan terus memantau kejadian wabak ini sehingga wabak tamat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top