Paris: Paris Saint-Germain menerima tamparan awal menjelang final Liga Juara-Juara (UCL) hujung bulan ini apabila beberapa pemain utama pasukan itu dibelenggu kecederaan.
Juara Perancis itu dijangka berdepan Arsenal di Puskas Arena, Budapest, Hungary pada Sabtu, 30 Mei ini.
Sebelum pertembungan membabitkan pengendali PSG, Luis Enrique dan pengurus Arsenal, Mikel Arteta berlangsung, kedua-dua pasukan masih perlu mengharungi baki aksi liga domestik masing-masing.
PSG berpeluang mengesahkan kejuaraan Ligue 1 lebih awal apabila menentang RC Lens di Stade Bollaert-Delelis awal pagi esok.
Mereka kemudian akan bertemu Paris FC Ahad ini sebelum memiliki tempoh 12 hari untuk membuat persiapan menghadapi final UCL.
Arsenal pula akan menentang Burnley di Emirates Stadium Isnin ini sebelum mengharungi aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad depan.
Berbeza dengan PSG, The Gunners hanya memiliki tempoh lima hari untuk membuat persiapan ke Budapest.
Walaupun mempunyai lebih masa untuk membuat persiapan, PSG kini berdepan masalah kecederaan membabitkan beberapa tonggak utama.
Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan hari ini, PSG mengesahkan pemain tengah Korea Selatan, Lee Kang-in mengalami kecederaan selepas menerima hentakan di buku lali kiri ketika aksi menentang Stade Brestois 29.
Menurut kenyataan itu lagi, enam lagi pemain turut menjalani rawatan kecederaan.
“William Pacho, Nuno Mendes dan Warren Zaire-Emery masih meneruskan rawatan.
“Achraf Hakimi, Lucas Chevalier dan Quentin Ndjantou pula menjalani latihan secara individu di padang,” menurut kenyataan itu.
Arsenal mara ke final UCL selepas menewaskan Atletico Madrid dengan agregat 2-1 manakala PSG menyingkirkan Bayern Munich menerusi kemenangan agregat 6-5.
© New Straits Times Press (M) Bhd



