Sissy Iman syukur berjaya beli rumah hasil keringat sendiri

Sissy Iman syukur berjaya beli rumah hasil keringat sendiri

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Sissy Iman berkongsi khabar gembira apabila berjaya memiliki kediaman sendiri hasil kerja kerasnya sebagai anak seni sejak sekian lama.

Menerusi hantaran di Instagram, baru-baru ini, Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 30, berkongsi sebelum ini dia membeli kereta pertama kira-kira lima tahun lalu, namun memilih untuk merahsiakannya termasuk rakan terdekat.

“Lima tahun lalu, saya beli kereta pertama, sebuah Nissan Serena. Saya simpan sahaja perkara itu, tidak pernah cerita walaupun dengan kawan rapat sebab rasa ia tidak cukup besar.

“Lama juga saya rasa perjalanan saya terlalu perlahan, kecil dan tidak layak untuk diraikan. Walaupun laluan itu sukar, saya anggap ia seperti tidak penting,” tulisnya.

Walau bagaimanapun, pelantun lagu Mungkin Kamu itu kini memilih untuk lebih menghargai setiap pencapaian kecil dalam hidupnya.

“Pada tahun 2024, sebelum saya bertemu suami, saya telah membeli sebuah rumah. Rumah itu siap dan saya sudah menerima kuncinya. Semuanya hasil usaha sendiri, keringat dan air mata.

“Alhamdulillah. Kadang-kadang kita terlalu sibuk melihat apa yang orang lain miliki, sampai lupa melihat apa yang Allah kurniakan kepada kita setiap hari,” tulisnya lagi.

Sissy turut menyifatkan pencapaian itu sebagai satu rahmat memandangkan status kerjayanya sebagai seorang yang bekerja bebas dengan pendapatan tidak menentu.

“Dengan kerjaya freelance (bekerja bebas) sebagai artis yang tak popular, kerja yang tak menentu, bergerak secara indie. Ibu bapa sendiri jadi pengurus sebab tak mampu bayar orang lain.

“Sambil sambung belajar boleh beli rumah sendiri, kira okaylah kan? Sissy percaya benda ini mustahil tanpa izin Allah, doa ibu bapa serta sokongan peminat yang sentiasa ada ketika waktu susah dan senang,” kongsinya.

Dalam hantaran sama, Sissy turut menitipkan pesanan agar orang ramai tidak terlalu membandingkan rezeki sendiri dengan orang lain sehingga terlupa menghargai nikmat yang dikurniakan Tuhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top