Masidi dilantik Timbalan Presiden, Armizan ambil alih jawatan Setiausaha Agung GRS

Masidi dilantik Timbalan Presiden, Armizan ambil alih jawatan Setiausaha Agung GRS

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melaksanakan rombakan terbaharu dalam struktur kepimpinannya yang menyaksikan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun, dilantik sebagai salah seorang Timbalan Pengerusi gabungan berkenaan.

Pelantikan tersebut menjadikan GRS kekal mempunyai lima Timbalan Pengerusi, susulan keputusan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) keluar daripada gabungan itu, di mana sebelum ini jawatan berkenaan disandang oleh presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selain Masidi, empat lagi individu dikekalkan sebagai Timbalan Pengerusi GRS iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin.

Dalam rombakan sama, jawatan Setiausaha Agung GRS turut berubah apabila Datuk Armizan Mohd Ali mengambil alih peranan tersebut daripada Masidi yang memegang jawatan itu sebelum ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung gabungan itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, turut dikekalkan semula sebagai Ketua Penerangan GRS bagi meneruskan tanggungjawab memperkukuh penyampaian maklumat dan komunikasi gabungan.

Rombakan kepimpinan tersebut juga menyaksikan kemunculan dua muka baharu dalam struktur tertinggi GRS.

Timbalan Bendahari Agung PBS dan Ahli Parlimen Tawau yang juga merangkap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai Bendahari Agung baharu menggantikan Ardino Diris.

Selain itu, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Razali Rali, dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung GRS yang baharu, menggantikan Armizan.

Keseluruhan rombakan ini dilihat sebagai usaha GRS menyusun semula barisan kepimpinan bagi memperkukuh kerjasama antara parti-parti komponen, khususnya dalam menghadapi agenda politik negeri Sabah akan datang.

Sementara itu, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) gabungan tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Scroll to Top