Iraq bongkar pangkalan rahsia Israel

Iraq bongkar pangkalan rahsia Israel
Iraq bongkar pangkalan rahsia Israel

Operasi yang digelar “Imposing Sovereignty” itu bermula di padang pasir Najaf dan Karbala, – Agensi

BAGHDAD – Pasukan tentera Iraq dikenali sebagai Popular Mobilisation Forces (PMF) yang pro-Iran telah melancarkan “operasi pembersihan dan pencarian” di padang pasir selatan susulan laporan mengenai pangkalan Israel di negara itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Menurut pasukan itu pada Selasa, operasi yang digelar “Imposing Sovereignty” itu bermula di padang pasir Najaf dan Karbala, lapor agensi berita negara Iraq INA.

Langkah itu susulan laporan The Wall Street Journal bahawa tentera Israel telah menubuhkan “pos tentera rahsia” di Najaf untuk menyokong kempen serangan udara terhadap Iran dan pangkalan itu hampir ditemui pada awal Mac.

Pihak berkuasa Iraq pada Isnin menafikan kehadiran mana-mana pangkalan atau tentera asing yang tidak dibenarkan di wilayah mereka.

Dalam satu kenyataan, pihak berkenaan memaklumkan tentera Iraq bertempur pada Mac dengan sebuah kumpulan yang tidak dikenali yang dibantu oleh pesawat, menyebabkan seorang anggota keselamatan maut, dua cedera dan sebuah kenderaan rosak.

Menurut kenyataan itu, unit tersebut berundur dengan perlindungan pasukan udara.

Sejak itu, pasukan keselamatan Iraq telah melakukan pemeriksaan berkala, terutamanya di kawasan padang pasir, tetapi tidak menemui bukti pangkalan atau pasukan yang tidak dibenarkan.

PMF, yang memainkan peranan penting dalam memerangi Negara Islam antara 2014 dan 2017, terus beroperasi bersama pasukan keselamatan Iraq.

Ia telah melaporkan beberapa siri serangan ke atas kemudahannya sejak Amerika Syarikat dan Israel mula menyerang Iran pada akhir Februari. – Bernama

 

 

 

 

Scroll to Top