[VIDEO] Harga minyak mentah dunia menurun 8.5 peratus minggu pertama Mei

[VIDEO] Harga minyak mentah dunia menurun 8.5 peratus minggu pertama Mei

HARGA minyak mentah Brent di peringkat global menunjukkan penurunan sebanyak 8.5 peratus pada minggu pertama Mei iaitu AS$108.40 setong berbanding AS$118.50 setong pada minggu sebelumnya.

Akmal Nasrullah ketika taklimat krisis tenaga global yang disiarkan di Facebook Kementerian Ekonomi secara langsung pada Selasa.

Akmal Nasrullah ketika taklimat krisis tenaga global yang disiarkan di Facebook Kementerian Ekonomi secara langsung pada Selasa.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir susulan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 10 Tahun 2026.

Beliau bagaimanapun berkata, paras itu masih jauh lebih tinggi berbanding sekitar AS$68.84 setong sebelum krisis tenaga global tercetus pada 26 Februari lalu.

Tambah Akmal Nasrullah, purata harga gas asli cecair (LNG) turut menurun 1.5 peratus bagi tempoh 4 hingga 8 Mei lalu daripada AS$17.67/MMBtu kepada AS$17.41/MMBtu selaras dengan perkembangan tersebut.

“Harga arang batu pula hampir kekal tidak berubah, meningkat secara marginal sebanyak 0.1 peratus daripada AS$133.03 kepada AS$133.19 satu tan metrik.

“Perkembangan ini menunjukkan pasaran tenaga global menunjukkan sedikit kestabilan, namun masih perlu dipantau kerana sebarang gangguan baharu boleh memberi kesan kepada kos tenaga dan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung taklimat krisis bekalan global di Facebook Kementerian Ekonomi pada Selasa.

Dari segi makroekonomi, Ahli Parlimen Johor Bahru itu memaklumkan bahawa kedudukan Malaysia masih stabil.

Ini kerana menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada 7 Mei lalu.

Jelasnya lagi, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.6 peratus serta 2.1 peratus pada suku pertama 2026, manakala anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh sama menunjukkan pertumbuhan 5.3 peratus.

Beliau berpendapat bahawa angka tersebut memberi isyarat ekonomi negara masih berada di landasan pertumbuhan yang baik dengan tekanan harga terkawal.

“Pasaran ekuiti tempatan juga mengekalkan momentum positif sepanjang minggu pelaporan 4 hingga 8 Mei. FBM KLCI ditutup pada paras 1,748.06 mata, meningkat 2.1 peratus berbanding 1,722.02 mata pada minggu sebelumnya.

“Dalam keadaan rantaian bekalan global tidak menentu, prestasi ini menunjukkan pasaran domestik masih disokong oleh sentimen pelaburan yang baik dan keyakinan terhadap asas ekonomi negara,” ujarnya lagi.

Scroll to Top