ISLAMABAD – Setahun selepas konflik udara empat hari antara India dan Pakistan, kedua-dua negara masih mendakwa mencapai kejayaan strategik, namun perang singkat itu turut mendedahkan kelemahan besar dalam pertahanan, diplomasi dan keselamatan serantau.
Di Pakistan, Mei disambut dengan poster dan sepanduk memuji kepimpinan tentera yang didakwa mempertahankan negara dalam perang udara menentang India pada tahun lalu.
Tentera Udara Pakistan turut mengadakan majlis memperingati kejayaan menjatuhkan jet India, manakala konsert anjuran kerajaan di Lahore meraikan apa yang disebut Islamabad sebagai ‘Hari Pertempuran Kebenaran’.

Seorang anggota tentera India berkawal di sebatang jalan di Srinagar, Kashmir ketika pasukan keselamatan meningkatkan kawalan sempena ulang tahun perang antara Pakistan dan India. Foto Agensi
India pula meraikan ulang tahun Operasi Sindoor, serangan ketenteraan yang dilancarkan pada 7 Mei 2025 selepas serangan di Pahalgam, Kashmir yang mengorbankan 26 orang awam.
New Delhi menyalahkan Pakistan atas serangan itu, namun Islamabad menafikannya.
Perdana Menteri India, Narendra Modi menyifatkan operasi itu sebagai bukti keberanian dan ketepatan angkatan tenteranya dalam memerangi keganasan.
Dua naratif kemenangan
Bagi Pakistan, kejayaan utama perang itu ialah pertempuran udara pada malam 6 hingga 7 Mei apabila jet J-10C buatan China didakwa menembak jatuh pesawat India, termasuk Rafale.
India kemudian mengakui kehilangan pesawat pada hari pertama pertempuran, namun menegaskan ia berjaya memperbetulkan taktik dan membalas dengan serangan berskala besar ke atas pangkalan udara Pakistan.
New Delhi pula mendakwa peluru berpandu BrahMos miliknya berjaya mengenai beberapa pangkalan udara Pakistan, termasuk Nur Khan di Rawalpindi dan Bholari di wilayah Sindh.

Sebuah masjid di Muridke, Pakistan rosak selepas terkena peluru berpandu India pada malam 6 hingga 7 Mei tahun lalu. Foto Agensi
India turut menggunakan dron buatan Israel yang menembusi kawasan sejauh Karachi dan Lahore, selain menggantung Perjanjian Air Indus yang mengawal perkongsian sumber air antara kedua-dua negara.
Namun, penganalisis menyifatkan perang itu tidak menghasilkan kemenangan mutlak untuk mana-mana pihak.
Sebaliknya, ia memperlihatkan bagaimana kedua-dua negara bersenjata nuklear itu menggunakan naratif masing-masing untuk menonjolkan kejayaan, sambil mengecilkan kelemahan sendiri.
Tingkatkan keupayaan
Setahun selepas perang, Pakistan meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan memperkenalkan Komando Pasukan Roket Tentera Darat bagi memperkukuh keupayaan serangan konvensional jarak jauh.
Islamabad turut memperkenalkan beberapa sistem peluru berpandu baharu, termasuk Fatah-III, Fatah-IV dan Fatah-V, yang didakwa mampu melakukan serangan tepat ke sasaran lebih jauh.

Peluru berpandu dan pelancar buatan Pakistan dipamerkan semasa perarakan tentera sempena Hari Pakistan di Islamabad pada 23 Mac 2024. Foto Agensi
Namun, penganalisis berkata kelemahan utama Pakistan masih terletak pada pertahanan udaranya.
Sistem peluru berpandu permukaan ke udara HQ-9B buatan China Juga sebelum ini dilaporkan gagal untuk memintas serangan BrahMos ketika konflik tahun lalu.
India turut diuji
Di pihak India, kerajaan mengekalkan pendirian bahawa Operasi Sindoor membuktikan keupayaan negara itu membalas serangan rentas sempadan.
Namun, kehilangan pesawat pada awal konflik menimbulkan persoalan mengenai tahap persediaan taktikal India, walaupun New Delhi enggan mendedahkan angka kerugian secara terperinci.
Penganalisis berkata, perang itu turut menunjukkan bahawa konflik terhad antara India dan Pakistan boleh berlaku di bawah ambang nuklear, tetapi risiko salah kira kekal tinggi.
Setahun selepas perang, tiada penyelesaian diplomatik jelas antara India dan Pakistan.
Kedua-dua negara terus memperkukuh ketenteraan, mempertahankan naratif kemenangan masing-masing dan berdepan risiko bahawa krisis seterusnya boleh berlaku dengan lebih pantas serta lebih sukar dikawal. – Agensi



