hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan memulakan pendakian Gunung Kinabalu tiba di puncak gunung tertinggi Malaysia, pagi tadi.
Satu hantaran pengguna media sosial Jack Arrey bergambar bersama Tengku Hasanal di puncak berketinggian 4,095 meter itu, kira-kira 10 pagi tadi.
Pendakian Tengku Hassanal bermula semalam kita-kira 8 pagi menerusi laluan pendakian Timpohon dan selamat tiba di Checkpoint Panalaban pada 3.45 petang.
Pada jam 2 pagi tadi baginda tuanku kembali meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.
Terdahulu, ekspedisi pendakian itu turut disusuli dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar bagi memohon agar seluruh perjalanan pendakian baginda tuanku dan rombongan dipermudahkan serta berada dalam keadaan selamat.
Keberangkatan baginda tuanku ke Gunung Kinabalu bersempena Kembara Mahkota Borneo.
Dalam ekspedisi pendakian itu, Tuanku Hassanal mengetuai rombongan pendakian yang disertai 56 peserta terdiri daripada pegawai dan
anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) serta pengiring rapat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tengku Hassanal berangkat tiba di Sabah sempena Ekspedisi Mahkota Borneo yang bermula 11 Mei lalu sehingga hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 1.30 tengah hari pada 11 Mei disambut oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Ahemad Sade.
© New Straits Times Press (M) Bhd



