Suri rumah 'kutip' RM6,000, menyamar pegawai kanan Imigresen

Suri rumah 'kutip' RM6,000, menyamar pegawai kanan Imigresen

am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Seorang suri rumah mengaut ribuan ringgit bagi sekali perkhidmatan dengan menyamar sebagai pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Wanita berusia 50-an terbabit mengaut untung atas angin itu dengan menawarkan perkhidmatan mengurus permohonan pas kerja warga asing.

Bagaimanapun, kegiatan itu yang berlangsung antara satu hingga dua tahun lalu terbongkar selepas dia ditahan ketika dipercayai sedang menguruskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) seorang warga China di sebuah kafe di Taman Malim Jaya, di sini, jam 6 petang semalam, menerusi Op Serkap.

Pengarah Imigresen Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, suspek ditahan hasil aduan serta risikan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Melaka.

“Suspek dipercayai menyamar sebagai Pengarah Kanan Imigresen di ibu pejabat dan Ketua Integriti JIM. Dia dikatakan mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap individu yang mendapatkan perkhidmatannya.

“Suspek menawarkan perkhidmatan menguruskan permohonan pas kerja warga asing tanpa pelanggan, terutama warga asing, perlu hadir ke pejabat Imigresen.

“Ketika ditahan, suspek sedang bersama pelanggan yang dipercayai mendapatkan perkhidmatannya,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tambah Anirwan, serbuan pertama dijalankan di hadapan sebuah kafe di Taman Malim Jaya sebelum membawa kepada serbuan kedua di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana.

Menurutnya, pemeriksaan di kediaman dan kenderaan suspek menemukan pelbagai barangan yang dipercayai digunakan bagi meyakinkan pelanggan terhadap identitinya sebagai pegawai JIM.

Katanya, antara yang dirampas ialah sepasang pakaian seragam hitam bersama aksesori, sepasang tanda pangkat pegawai kanan Imigresen, collar badge JIM, lencana integriti, lencana Setia Berjasa dan sepasang kasut kerja hitam.

“Turut dirampas dua helai baju-T hitam berlogo JIM, sekeping kad pengenalan JIM yang dipercayai dipalsukan, satu cop nama serta satu surat kelulusan berkepala surat JIM.

“Suspek tidak pernah bekerja dengan JIM, sebaliknya hanyalah suri rumah dan mempunyai lima anak,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai bergerak di Melaka secara berpindah-randah dan tidak mempunyai lokasi tetap bagi mengelak kegiatannya dihidu pihak berkuasa.

Malah, katanya, suspek turut menggunakan media sosial termasuk memuat naik gambar mengenakan pakaian seragam Imigresen bagi meyakinkan individu yang mendapatkan perkhidmatannya.

“Kita juga masih menyiasat bagaimana suspek memperoleh pakaian seragam dan aksesori JIM selain meneliti sama ada terdapat pihak lain yang turut terlibat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(k) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan wanita itu kini direman empat hari oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah bermula hari ini, bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top