am@hmetro.com.my
Putrajaya: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru, Datuk Seri Abd Halim Aman komited terus memperkukuhkan usaha membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam negara.
Dalam amanat sulungnya, beliau menegaskan amanah yang digalas bukan saja perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, malah menjadi satu ikrar yang wajib dikotakan oleh setiap warga SPRM.
“Cabaran, kekangan dan rintangan dalam melaksanakan tugas sememangnya tidak dapat dielakkan, namun ia perlu ditangani dengan kebijaksanaan serta berpandukan akta dan arahan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bersama Pengarah-pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Abd Halim turut mengingatkan pegawai SPRM supaya mengelakkan sebarang unsur penganiayaan ketika menjalankan tugas dan sentiasa memperbaiki kelemahan sekiranya berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak.
Beliau mengakui persepsi masyarakat terhadap SPRM tidak boleh diketepikan dan menegaskan bahawa setiap pegawai perlu menjalankan amanah dengan sebaik mungkin demi menjaga kredibiliti suruhanjaya berkenaan.
Mengulas mengenai aspek penguatkuasaan, beliau berkata, siasatan dan pendakwaan perlu bergerak seiring bagi memastikan perjalanan kes yang dibawa ke mahkamah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan.
Katanya, antara pembaharuan yang akan diperkenalkan adalah memperkukuh penyelarasan antara bahagian siasatan dan pendakwaan SPRM bagi memudahkan urusan pegawai.
Dalam menghadapi kekangan pegawai siasatan, beliau turut menyarankan supaya pengisian dalaman diperkasakan selain menekankan kepentingan pendidikan masyarakat berkaitan pencegahan rasuah diteruskan tanpa henti.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan amanah diberikan untuk menerajui SPRM serta menyeru seluruh warga suruhanjaya supaya bersama-sama memikul tanggungjawab yang diamanahkan.
Terdahulu, beliau tiba di Lobi C, Ibu Pejabat SPRM pada jam 8.20 pagi disambut oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi, Pengarah Kanan dan Pengarah Bahagianserta pegawai kanan SPRM.
Beliau kemudian mengimbas kad pas dan meletakkan tapak tangan pada tablet sebagai simbolik pada Majlis Sambutan dan Mula Tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang bermula hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




