Hyderabad: India menaikkan cukai import emas dan perak daripada enam peratus kepada 15 peratus pada Rabu, beberapa hari selepas Perdana Menteri Narendra Modi menggesa rakyat supaya mengurangkan pembelian barang kemas bagi menjimatkan pertukaran mata wang asing.
India kini berusaha melindungi ekonominya daripada kesan perang di Asia Barat dengan mengurangkan bil import dan menjimatkan mata wang utama.
Import emas di negara pengguna jongkong kedua terbesar di dunia itu akan dikenakan duti kastam asas sebanyak 10 peratus dan ses pembangunan infrastruktur serta pertanian sebanyak lima peratus bermula 13 Mei, berbanding kadar masing-masing lima peratus dan satu peratus sebelum ini, menurut Kementerian Kewangan.
India menyaksikan import emasnya melonjak 24 peratus kepada hampir AS$72 bilion bagi tahun fiskal 2025-2026.
Peningkatan kos tenaga akibat pergolakan geopolitik di Asia Barat turut menjejaskan pengimport minyak dan gas ketiga terbesar di dunia itu.
Modi semasa lawatannya ke Hyderabad pada 10 Mei lalu, menggesa rakyat India supaya menjimatkan bahan api serta mengelakkan lawatan ke luar negara dan pembelian emas untuk kepentingan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




