Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abd Halim Aman mengingatkan pegawai suruhanjaya itu supaya mengelakkan sebarang unsur penganiayaan ketika menjalankan tugas.
Beliau berkata, setiap kelemahan atau kesilapan yang berlaku sama ada disengajakan atau tidak, perlu diperbaiki demi memastikan integriti SPRM terus terpelihara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan persepsi masyarakat terhadap SPRM tidak boleh diketepikan dan setiap pegawai perlu menjalankan amanah dengan sebaik mungkin bagi menjaga kredibiliti suruhanjaya berkenaan.
“Amanah digalas bukan sahaja perlu dilaksanakan penuh integriti, malah menjadi satu ikrar yang wajib dikotakan setiap warga SPRM.
“Cabaran, kekangan dan rintangan dalam melaksanakan tugas sememangnya tidak dapat dielakkan, namun ia perlu ditangani dengan kebijaksanaan serta berpandukan akta dan arahan ditetapkan,” katanya.
Perkara itu disampaikan Abd Halim menerusi amanat sulungnya ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pengarah kanan dan pegawai bahagian SPRM di Putrajaya hari ini.
Abd Halim berkata, aspek siasatan dan pendakwaan juga perlu bergerak seiring supaya perjalanan kes yang dibawa ke mahkamah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan.
Katanya, antara pembaharuan yang akan diperkenalkan termasuk memperkukuh penyelarasan antara bahagian siasatan dan pendakwaan SPRM selain memperkasakan pengisian dalaman bagi menangani kekangan pegawai siasatan serta meneruskan pendidikan pencegahan rasuah kepada masyarakat.
Abd Halim memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM hari ini selepas dilantik menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan kontraknya secara rasmi semalam selepas 42 tahun berkhidmat bersama SPRM.
Bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 8.20 pagi sebelum menghadiri Majlis Sambutan dan Mula Tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM dengan disambut barisan pengurusan tertinggi serta pegawai kanan suruhanjaya berkenaan.
KREDIT GAMBAR UTAMA: SPRM




