
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan piahknya sedang memantau rapat perkembangan kejadian berkenaan.
SHAH ALAM – Kementerian Luar mengesahkan seramai lima warganegara Malaysia berjaya diselamatkan selepas terbabit dalam insiden kapal karam berhampiran perairan Kastellorizo, Greece pada 12 Mei lalu.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, kementerian itu memaklumkan, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest sedang memantau rapat perkembangan kejadian berkenaan.
Menurut laporan awal, kapal terbabit mengalami kerosakan teknikal dan sistem navigasi semasa pelayaran sebelum melanggar terumbu karang dan karam berhampiran kawasan perairan itu.
“Kejadian itu menyebabkan lima rakyat Malaysia yang berada di atas kapal berkenaan berjaya diselamatkan oleh pihak Pengawal Pantai Greece.
“Tiga daripada mereka sudah dilepaskan oleh pihak berkuasa Greece selepas melengkapkan proses dokumentasi dan imigresen,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, kementerian memaklumkan dua lagi rakyat Malaysia masih ditahan oleh pihak berkuasa tempatan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pelanggaran undang-undang alam sekitar.
Menurut kenyataan itu, siasatan berkenaan menjurus kepada isu kerosakan terhadap ekosistem marin susulan pelanggaran terumbu karang terbabit.
Kementerian itu memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa Greece yang berkaitan selain menghulurkan bantuan konsular sewajarnya.
“Langkah itu bagi memastikan keselamatan, kebajikan serta hak mereka sentiasa terpelihara sepanjang proses perundangan berjalan,” katanya.
Kementerian Luar Negeri turut memaklumkan akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini mengikut keperluan.



