redzuan.muharam@hmetro.com.my
Sungai Petani: Dua bulan lalu, lelaki ini berdepan fasa sukar akibat kesempitan wang hingga terpaksa menggunakan duit syiling untuk membeli makanan.
Ketika itu, keinginan membeli baju baru terpaksa dilupakan namun Muhammad Ikmalakel Meskor, 33, bersyukur kerana isteri tercinta, Nor Syamimi Salman, 28, setia dengannya.
Katanya, wanita itu sanggup berkorban dengan menggadaikan barang kemas untuk membantunya mendapatkan modal bagi memulakan perniagaan ayam gunting secara kecil-kecilan.
Lantaran itu, Muhammad Ikmalakel enggan terus bersedih sebaliknya berusaha bangkit walaupun tidak mudah kerana kini, dia perlu membawa bersama anaknya, Auliya Miqayla yang berusia dua tahun ke tapak niaga.
Pengalaman itu dikongsikan menerusi hantaran di Threads dan meruntun hati warganet dengan rata-ratanya menitipkan kata semangat buatnya.
Menceritakan kisahnya, Muhammad Ikmalakel berkata, niatnya bukan untuk meraih simpati atau tular namun tidak sangka perkongsiannya mendapat perhatian ramai.
“Saya muat naik hantaran, gambar dan video anak itu sebagai kenangan tapi tak sangka pula dapat banyak maklum balas.
“Rezeki anak saya cuma yang sedihnya apabila ada sindiket penipuan yang menggunakan akaun palsu untuk memuat naik semula gambar dan hantaran saya bersama kod imbasan QR untuk mengaut untung.
“Cepat betul mereka ambil kesempatan tapi saya bersyukur kerana ramai yang mendoakan dan bagi kata semangat.
“Saya hargai sangat dan sebenarnya, saya bawa anak bersama ke tapak niaga di pasar malam sebab isteri bekerja sampai jam 10 malam, saya pula kena berniaga bermula jam 4.30 petang dan kami tak mampu upah pengasuh jadi itu saja caranya,” katanya kepada Harian Metro.
Muhammad Ikmalakel berkata, buat masa ini, dia berniaga di sekitar bandar ini iaitu dekat pasar malam Taman Ria Jaya, Sungai Lalang, Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Kempas dan paling jauh di Bertam, Pulau Pinang.
Menurut Muhammad Ikmalakel, cabarannya adalah kerana tidak pernah berniaga sendiri kerana sebelum ini hanya bekerja makan gaji.
“Waktu awal berkahwin iaitu empat tahun lalu, saya bekerja sebagai tukang masak char kuetiau kemudian di gerai sayur dekat pasar.
“Ramadan lalu, saya bantu jual air soya di bazar Ramadan dan selepas raya, saya nekad ceburi bidang perniagaan.
“Susah juga pada awalnya kerana pendapatan tak menentu tapi dalam semalam, boleh dapat antara RM200 hingga RM300 dan dapatlah guna sebagai duit minyak selain beli keperluan termasuk susu juga lampin pakai buang anak,” katanya yang buat masa ini bergerak sendiri tanpa pekerja.
Muhammad Ikmalakel berkata, perjalanannya masih jauh dan akan terus berusaha mengukuhkan perniagaan demi kesenangan keluarga terutama isteri juga anaknya.
“Anak jadi kekuatan saya untuk mencari rezeki. Bila malas, saya tengok muka anak dan terus jadi rajin serta bersemangat
“Saya kena kerja kuat demi anak dengan isteri dan buat masa ini, saya dahulukan mereka berbanding keinginan sendiri.
“Kalau boleh, saya nak kumpul duit untuk tebus semula cincin, rantai dan gelang tangan isteri yang digadai sebelum ini demi membantu saya,” katanya yang juga tinggal bersama anak tiri berusia tujuh tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




