WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa berkata beliau tidak mengambil kira beban ekonomi yang ditanggung rakyat Amerika ketika berunding dengan Iran bagi menamatkan perang yang dimulakannya pada Februari, lapor Anadolu Ajansi.
“Sedikit pun tidak,” kata Trump ketika menjawab soalan wartawan berhubung sejauh mana beliau mempertimbangkan keadaan kewangan rakyat Amerika dalam rundingan itu.
“Satu-satunya perkara yang penting apabila saya bercakap mengenai Iran ialah mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear. Saya tidak memikirkan keadaan kewangan rakyat Amerika. Saya tidak memikirkan sesiapa pun,” katanya.
Perang AS-Israel terhadap Iran menyebabkan rakyat Amerika menanggung kira-kira AS$38.1 bilion dalam bentuk kenaikan kos tenaga, menurut angka yang dikumpulkan Iran War Energy Cost Tracker oleh Watson School of International and Public Affairs, Universiti Brown.
Data itu dikemas kini secara masa nyata dengan jumlahnya terus meningkat setiap saat.
Sebahagian besar kos tambahan iaitu AS$20.86 bilion, dibelanjakan untuk petroleum manakala diesel menyumbang AS$17.2 bilion.
Purata isi rumah AS membayar tambahan AS$290.56 sebulan bagi petrol dan diesel.
Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.
Gencatan senjata itu kemudian dilanjutkan tanpa had masa oleh Trump ketika usaha menyambung semula rundingan menemui jalan buntu.
Trump pada Ahad mengecam Iran selepas Tehran mengemukakan maklum balas terhadap cadangannya bagi menamatkan perang secara kekal, dengan menyifatkannya sebagai “langsung tidak boleh diterima.”
Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Qalibaf membalas dengan menegaskan bahawa “tiada pilihan lain” selain menerima hak rakyat Iran seperti yang digariskan dalam cadangan 14 perkara Tehran.
“Sebarang pendekatan lain akan menemui jalan buntu sepenuhnya; tidak membawa apa-apa selain kegagalan demi kegagalan,” kata Qalibaf di platform media sosial X.



