Ahli Parlimen Nik Muhammad Zawawi Salleh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau menghina serta mempersendakan kewibawaan para sahabat Nabi Muhammad SAW menerusi satu ceramah yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut beliau, kenyataan yang disampaikan ketika ceramah itu hanyalah bertujuan memudahkan masyarakat memahami konteks sejarah kehidupan masyarakat Arab pada zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam.

Beliau menjelaskan penggunaan istilah seperti “ceti” dibuat bagi menggambarkan bagaimana sistem masyarakat ketika itu berlaku sebelum Islam membawa perubahan besar kepada kehidupan manusia.
“Apa yang saya maksudkan ialah pada zaman jahiliyah di Mekah, sesiapa sahaja yang bermuamalah dalam masyarakat ketika itu terpaksa akur dan patuh.
“Ia termasuklah tokoh-tokoh seperti Abu Bakar RA dan Abdul Rahman bin Auf. Mereka hidup dalam sistem tersebut sebelum Islam datang serta sebelum Rasulullah SAW diutuskan.
“Oleh itu, ia bukan kesalahan para sahabat kerana ketika itu Islam belum diturunkan lagi. Saya menyebut perkara ini untuk memudahkan masyarakat memahaminya,” katanya pada Selasa.
Sebelum ini, tular beberapa video memaparkan ceramah beliau yang didakwa menggambarkan empat sahabat Rasulullah SAW iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman Affan dan Saidina Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang buruk sebelum memeluk Islam.
Antara kenyataan yang menjadi perhatian ialah dakwaan beliau menyifatkan Saidina Abu Bakar sebagai “bapa ceti” yang dikatakan memeras golongan miskin ketika zaman jahiliyah, manakala Saidina Umar pula digambarkan sebagai seorang yang zalim sebelum menerima Islam.

Artikel lain: Haram, dosa besar hina sahabat Nabi – Menteri Agama
Difahamkan, kenyataan itu disampaikan ketika satu ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi menegaskan beliau sama sekali tidak berniat menghina atau mencerca para sahabat Nabi Muhammad SAW.
“Saya hanya berkata bahawa ALLAH SWT menjadikan Saidina Abu Bakar sebagai model manusia yang berubah setelah menerima Islam dan tarbiah daripada Rasulullah SAW.
“Daripada seorang yang hidup dalam sistem jahiliyah beliau berubah menjadi insan contoh apabila menerima didikan Islam.
“Justeru, tidak timbul isu saya mencaci sahabat sehingga diminta bertaubat. Saya menyeru semua pihak agar bersatu padu dan tidak terus menimbulkan fitnah. Insya-ALLAH, saya maafkan semua pihak yang menuduh saya,” katanya lagi.




