kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) memperkenalkan inisiatif pembiayaan khas dikenali sebagai SME Perkasa bernilai RM1 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi tekanan peningkatan kos operasi serta aliran tunai dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
Menerusi inisiatif itu, bank berkenaan menyasarkan kelulusan pembiayaan sebanyak RM1 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan setiap perniagaan yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM1 juta selain penangguhan bayaran prinsipal selama enam bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, PKS kini berdepan cabaran operasi yang lebih mencabar dengan peningkatan kos dan tekanan aliran tunai menjadi kebimbangan utama.
“Dalam keadaan ini, akses kepada pembiayaan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kelajuan akses juga amat penting.
“Menerusi SME Perkasa, kami memberi keutamaan kepada kedua-dua aspek itu bagi memastikan perniagaan boleh memperoleh pembiayaan diperlukan dalam tempoh 48 jam selain sokongan khidmat nasihat untuk membantu mereka bertindak pantas dan kekal berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif itu turut selari dengan strategi ROAR30 Maybank yang menyasarkan mobilisasi pembiayaan PKS sebanyak RM100 bilion menjelang 2030, sekali gus mengukuhkan peranan bank dalam menyokong tulang belakang ekonomi negara.
Selain SME Perkasa, Maybank turut menawarkan pilihan bantuan kewangan lain kepada pelanggan individu dan PKS menerusi Skim Bantuan Kewangan Maybank.
Antara keistimewaan utama SME Perkasa ialah kelulusan dan penyaluran pembiayaan yang pantas apabila PKS layak boleh menerima dana dalam tempoh 48 jam selepas semua dokumen lengkap dimuktamadkan.
Maybank berkata, proses pantas itu disokong menerusi aliran kerja penilaian kredit khas yang menggunakan data transaksi serta hubungan perbankan sedia ada pelanggan dengan bank bagi mempercepatkan proses penilaian.
Langkah itu membolehkan PKS bertindak segera dalam menangani keperluan aliran tunai dan tekanan operasi tanpa menjejaskan disiplin kredit.
Inisiatif berkenaan ditawarkan kepada pelanggan PKS sedia ada Maybank dalam 10 sektor keutamaan yang terkesan dengan keadaan semasa termasuk logistik, pengedaran borong, pembinaan, rantaian bekalan makanan, logam fabrikasi dan barangan industri, pengusaha stesen minyak, pertanian, perabot, pengimport mesin dan perkhidmatan kurier.
Pelanggan PKS daripada sektor lain turut boleh memohon tertakluk kepada penilaian pihak bank.
Dalam pada itu, pelanggan PKS Maybank juga boleh mendapatkan sokongan khidmat nasihat perniagaan serta rangkaian kerjasama agensi termasuk Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Ia termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
© New Straits Times Press (M) Bhd



