Hoki tidak terdesak sertai RTG – Subahan

Hoki tidak terdesak sertai RTG – Subahan

PETALING JAYA: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak meletakkan sebarang harapan untuk disenaraikan dalam Program Road to Gold (RTG), sebaliknya menyerahkan sepenuhnya keputusan itu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, RTG merupakan inisiatif khusus untuk memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik, justeru sebarang penyertaan dalam program berkenaan perlu dinilai secara realistik dan menyeluruh.

“Sejujurnya, ini bukan bidang kuasa kami. Kami memahami bahawa ia adalah keputusan menteri dan kami akur dengan apa sahaja keputusan yang dibuat oleh KBS. RTG adalah mengenai usaha mendapatkan pingat emas pertama negara,” katanya.

Menurutnya, ketika ini KHM melihat peluang untuk meraih pingat emas Olimpik dalam sukan hoki masih sukar dicapai, justeru pendekatan secara berperingkat lebih wajar diambil.

“Saya bersikap praktikal dan realistik, buat masa ini adalah hampir mustahil untuk kita memenangi pingat emas di Sukan Olimpik. Jadi, bantuan yang diterima sekarang sudah memadai, kita ambil langkah demi langkah.

“Bagi kami, kami tidak mendesak untuk berada dalam RTG. Saya sangat praktikal mengenainya kerana ada banyak lagi sukan penting lain yang memerlukan sokongan, jadi kita juga perlu realistik,” katanya.

Tambah Subahan, fokus utama ketika ini adalah memastikan pembangunan sukan hoki terus diperkukuh dengan sokongan sedia ada, selain memberi ruang kepada sukan lain yang turut memerlukan perhatian dan peruntukan.

“Bagi kami, tidak ada keperluan untuk mendesak berada dalam RTG. Ada banyak lagi sukan penting lain yang memerlukan sokongan, jadi kita perlu realistik,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top