KOTA BHARU: Hasrat dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India untuk pulang ke negara asal menggunakan laluan haram tidak kesampaian apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Stesen Bas Lembah Sireh di sini kelmarin.
Kedua-dua PATI berusia 33 dan 30 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam semasa anggota PGA melakukan rondaan rutin menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussian berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua PATI dipercayai datang ke Kota Bharu dari Johor Bahru dengan menaiki bas.
Katanya, kedua-dua PATI yang sebagai tukang masa merancang pulang ke India menggunakan jalan tidak diwartakan melalui bantuan seorang ejen dikenali sebagai Senthill.
“Selain itu, kita turut menahan seorang lagi PATI yang merupakan warganegara Bangladesh.
“Pemeriksaan mendapati pasport yang dikemukakan ketiga-tiga suspek telah tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal lebih masa.
Katanya, PGA turut merampas tiga unit telefon bimbit bernilai RM4,500.-UTUSAN




