Rom: Jose Mourinho mengkritik keputusan “tidak tahu malu” pihak berkuasa bola sepak Sepanyol yang mengumumkan penggantungan empat perlawanan terhadap pemain sayap Real Madrid, Vinicius Junior, hanya beberapa jam sebelum aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Roma bermula.
Pemain antarabangsa Brazil itu dikenakan hukuman berkenaan pada Rabu selepas dilayangkan kad merah ketika kemenangan 1-0 Real ke atas Villarreal dalam saingan La Liga, Ahad lalu, akibat menarik rambut pemain lawan.
Penggantungan itu memberi tamparan besar kepada Mourinho apabila dia kehilangan salah seorang penyerang utama bagi menghadapi beberapa aksi penting liga, termasuk pertembungan El Clasico menentang seteru, Barcelona, yang mendahului Real dengan kelebihan enam mata di puncak liga.
Vinicius diturunkan ketika skuad kendalian Mourinho melakukan kebangkitan luar biasa pada penghujung perlawanan untuk menewaskan Roma 4-3 dalam aksi UCL, selepas ketinggalan 1-3 dengan baki tujuh minit permainan.
Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap masa pengumuman hukuman berkenaan yang didakwanya mengganggu persiapan pasukan ketika sidang media selepas perlawanan.
Mourinho berkata: “Adakah anda fikir perkara ini normal apabila seorang pemain daripada pasukan Sepanyol, yang perlu beraksi dalam perlawanan penting untuk bola sepak Sepanyol, mengetahui dia digantung empat perlawanan hanya dua jam sebelum perlawanan bermula?
“Tidak bolehkah mereka mengumumkannya sekarang? Tidak bolehkah mereka melakukannya esok pagi? Adakah kami perlu menaiki bas dan hampir tiba di stadium sebelum mengetahui Vinicius digantung empat perlawanan?”
Mourinho menambah: “Mereka melakukan perkara tanpa rasa malu sekarang. Perkara ini sudah terbongkar. Seorang pemain perlu mengetahui dia digantung empat perlawanan hanya dua jam sebelum perlawanan.
“Pasukan Sepanyol yang menyumbang tiga mata untuk bola sepak Sepanyol, kedudukan ranking dan prestij bola sepak negara itu. Anda mahu menjatuhkan semangat seorang pemain dua jam sebelum perlawanan; bagi saya, perkara itu tidak normal.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




