mahaizura@mediaprima.com.my
Berbekalkan joran dan umpan pilihan masing-masing, seramai 484 kaki pancing mencuba nasib untuk merebut gelaran Raja Tasik Selangor 2026 di Tasik Pandan Perdana, Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM11,000 itu bukan sahaja menguji kemahiran kaki pancing, malah menjadi acara rekreasi yang menghimpunkan komuniti setempat.
Malah pertandingan anjuran Jabatan Belia, Masyarakat dan Landskap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Zon 21 serta Airfour Classic itu antara usaha mempromosikan Tasik Pandan Perdana sebagai tarikan dan lokasi eko-pelancongan di kawasan Ampang Jaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur berkata, penganjuran Raja Tasik Selangor 2026 menunjukkan bagaimana kemudahan awam yang dibangunkan dan disenggara pihak berkuasa tempatan (PBT) dimanfaatkan secara optimum untuk aktiviti rekreasi, sosial dan pelancongan.
“Dalam pertandingan ini, aktiviti memancing bukan sahaja memerlukan kesabaran, ketelitian, fokus dan ketahanan diri, malah membuka peluang kepada peserta untuk bertukar pengalaman, membina persahabatan serta mengeratkan silaturahim.
“Nilai ini jauh lebih besar daripada ukuran kemenangan semata-mata kerana program seperti ini bukan sekadar pertandingan memancing sebaliknya menjadi platform yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya.
Yew berkata, pemilihan lokasi penganjuran amat bertepatan berikutan kawasan tasik dan taman awam bukan sahaja berfungsi sebagai kawasan hijau dan tempat riadah, malah menjadi ruang sosial penting kepada komuniti setempat.
Katanya, penggunaan kemudahan awam secara aktif dan bertanggungjawab mampu menjadikan kawasan rekreasi lebih hidup, selamat serta dekat dengan masyarakat selain membantu menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam dalam kalangan masyarakat bandar.
“Dalam kehidupan bandar yang semakin mencabar, masyarakat memerlukan ruang rekreasi dan aktiviti berkualiti untuk mengurangkan tekanan, memperkukuh hubungan kekeluargaan serta meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental.
“Penganjuran program berasaskan komuniti ini juga memberi kesan positif kepada ekonomi setempat apabila kehadiran peserta dan pengunjung membuka peluang kepada penjaja, peniaga kecil serta usahawan komuniti untuk memperkenalkan produk dan menjana pendapatan.
“Saya berharap lebih banyak program seumpama itu dianjurkan khususnya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi memperkenalkan Ampang Jaya sebagai destinasi rekreasi bandar selain mengingatkan masyarakat supaya bersama-sama menjaga kebersihan, keselamatan dan kelestarian kemudahan awam,” katanya.
Pertandingan itu menyaksikan tuah menyebelahi pemandu ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mohd Arif Akhlas, 41, apabila seekor ikan haruan seberat 0.925 kilogram (kg) yang berjaya dinaikkan melayakkannya dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang RM4,000.
Mohd Arif yang menetap di Ampang berkata, kemenangan itu langsung tidak dijangka memandangkan persaingan begitu sengit selain menghadapi masalah pada permulaan minit pertandingan.
“Ikutkan ini kali kedua saya menyertai pertandingan memancing. Saya datang ini pun cuma hendak bersantai dan suka-suka saja.
“Tak sangka pula boleh menang sebab ikan yang dapat pun beratnya tak sampai sekilogram sedangkan peserta lain ramai dan hebat belaka.
“Ketika membaling pancing pun, tali tersangkut pada pokok tetapi nasib baik masih boleh ditarik semula,” katanya.
Mohd Arif berkata, dia berjaya menaikkan ikan haruan kira-kira 9.30 pagi dengan hanya menggunakan umpan cacing tanah sekali gus melayakkannya memenangi pertandingan itu.
Katanya, dia mahu menggunakan wang kemenangan diperoleh itu untuk membawa anak-anaknya berjalan-jalan.
Raja Tasik Selangor 2026 menyaksikan pelbagai spesies ikan termasuk patin, toman, haruan, talapia, keli, baung, belida dan ketutu menjadi buruan peserta yang menyertai pertandingan itu dengan yuran penyertaan RM40 bagi sebatang joran.
Tempat kedua pertandingan itu dimenangi Mohd Fahriszal Mohd Aris dari Segambut, Kuala Lumpur dengan tangkapan ikan haruan seberat 0.820kg dan menerima RM1,000 manakala Abdul Latif dari Cheras pula di tempat ketiga dengan membawa pulang RM500 menerusi tangkapan seberat 0.785kg selain RM70 turut ditawarkan buat pemenang tempat keempat hingga ke-80.
© New Straits Times Press (M) Bhd




