36 politeknik bakal ditransformasi, tawar program ijazah dan sarjana – Zambry

36 politeknik bakal ditransformasi, tawar program ijazah dan sarjana – Zambry

PONTIAN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka penstrukturan semula 36 politeknik di seluruh negara bagi mempertimbangkan penawaran program di peringkat ijazah dan sarjana.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, transformasi turut membabitkan keseluruhan ekosistem termasuk struktur institusi dan kursus yang ditawarkan.

Menurut beliau, politeknik tidak lagi boleh hanya berfungsi sebagai institusi yang melahirkan tenaga kerja berkemahiran pertengahan atau rendah, sebaliknya perlu diperkasakan untuk melahirkan tenaga mahir berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang strategik.

“Kerajaan sedang melihat semula masa hadapan politeknik termasuk kursus-kursus yang ditawarkan bagi memenuhi permintaan dan keperluan semasa serta masa depan.

“Antara bidang yang diberi perhatian ialah kecerdasan buatan (AI), elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor memandangkan Malaysia merupakan antara pengeluar semikonduktor terbesar dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Kolej Komuniti Pontian di Kompleks Penghulu Mukim Benut, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Tambah Zambry, kerajaan kini sedang meneliti semula akta berkaitan politeknik dan dijangka mengemukakan cadangan baharu berhubung penstrukturan serta kedudukan politeknik sama ada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Mengulas dakwaan kononnya kursus yang ditawarkan di politeknik dan universiti tidak relevan dengan kehendak pasaran kerja, beliau menegaskan perkara itu tidak benar sama sekali.

“Saya tahu ada kritikan seseorang yang mengatakan bahawa kursus-kursus yang ditawarkan di politeknik banyak yang berkaitan dengan kursus-kursus yang kita lelonglah.

“Oleh kerana semua orang pakat nak masuk, kita bagilah kursus-kursus yang tidak relevan dengan pasaran.

“Itu tidak benar sama sekali kerana fungsi politeknik sentiasa memberikan penekanan kepada keperluan khususnya dalam konteks politeknik, apakah keperluan terkini dan juga masa depan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kolej komuniti baharu di Pontian dijangka mula dibina tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM70 juta.

“Ketika ini, proses pengambilan tanah telah pun dimulakan dan berjalan mengikut perancangan sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dilaksanakan.

“Kita sudah mulakan dari segi proses pengambilan tanah dan sebagainya. Kita jangkakan pada tahun hadapan akan mula,” katanya.

Scroll to Top