KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) mempergiat usaha libat urus industri bagi meningkatkan kesiapsiagaan penggiat menjelang pelaksanaan proses kebenaran beroperasi pelesenan dan pendaftaran di bawah Akta Kredit Pengguna (AKP).
SKP dalam kenyataan berkata, usaha tersebut penting bagi menyediakan rangka kerja kawal selia lebih tersusun bagi penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bukan bank.
Katanya, SKP akan mengadakan taklimat pada 18 dan 19 Mei ini bagi membantu industri kredit yang sebelum ini tidak tertakluk di bawah mana-mana kawal selia, memahami keperluan ditetapkan serta membuat persediaan awal bagi pematuhan menjelang pelaksanaan kebenaran operasi pada bulan depan.
“Di bawah fasal satu pelaksanaan AKP, enam aktivti pernagaan dalam skop kawal selia iaitu skim beli sekarang ayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas serta kaunseling dan pengurusan hutang.
“Peserta industri yang telah dikenal pasti menjalankan aktiviti itu akan dihubungi secara terus oleh SKP untuk menyertai taklimat berkenaan,” katanya.
Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, fokus utama suruhanjaya adalah memastikan semua peserta industri yang berkaitan memahami tanggungjawab mereka di bawah AKP dan bersedia menghadapi pelaksanaan rangka kerja kawal selia baharu tersebut.
“Penglibatan awal dan secara berterusan bersama industri akan membantu memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar serta menyokong pembangunan industri kredit pengguna yang lebih telus dan berintegriti.
“SKP komited untuk membangunkan ekosistem yang berteraskan standard perlakuan yang tinggi, di samping memastikan rangka kerja kawal selia yang seimbang bagi menyokong pertumbuhan mampan serta inovasi yang bertanggungjawab.” katanya.
Abu Hassan berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan proses peralihan ke arah pelaksanaan kebenaran beroperasi berjalan secara lancar dan teratur. – UTUSAN




