PASIR MAS: Seorang guru al-Quran dikenakan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap tiga murid lelakinya, sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh, Hanafi Hassan, 64, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki ketika mangsa berusia antara sembilan tahun empat bulan hingga 11 tahun sembilan bulan.
Perbuatan itu dilakukan di bilik mandi Masjid Kursial Bharu pada Mei 2023 kira-kira pukul 5.45 petang dan pada 11 Oktober 2025 pukul 5 petang. Kesalahan sama turut dilakukan pada 16 Mac 2024 pukul 8 pagi di sebuah stor gunting rambut di kawasan perumahan Kursial, Tanah Merah serta pada 26 Januari 2025 pukul 5 petang di tandas Masjid Al Falah Manal 1, Tanah Merah.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun 11 bulan di stor Masjid Kursial Bharu, Tanah Merah pada 25 September 2025 pukul 3.15 petang selain pada 2 Oktober 2025 dan 24 Oktober 2025 di lokasi sama.
Sementara itu, pertuduhan kelapan dan kesembilan melibatkan seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dua bulan di bilik mandi Masjid Jamek Ismaili Petra, Tanah Merah pada 23 November dan 7 Disember 2025, kira-kira pukul 5.30 petang.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Ketika merayu hukuman ringan, tertuduh menangis dan mendakwa menyesal atas perbuatannya selain memohon ihsan mahkamah kerana sudah berusia serta menjadi tulang belakang keluarga termasuk menyara seorang anak orang kurang upaya (OKU).
“Pak cik menyesal di atas perbuatan terkutuk ini, mohon hukuman seringan-ringannya. Pak cik juga sudah tua,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan kerana perbuatan tertuduh memberi trauma kepada mangsa yang masih kecil selain kesalahan dilakukan berulang kali sejak 2023.
Menurut Siti Aiysha Na’ilah, tertuduh turut menggunakan pujukan seperti membelikan kasut, pengecas telefon dan kad sim selain mengugut tidak mahu mengajar al-Quran sekiranya mangsa enggan menuruti kehendaknya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan bermula dari tarikh tangkap pada 1 Mei 2026. Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang berada di penjara selain dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman. – UTUSAN




