Harga ubat kekal stabil, KKM pantau bekalan dan kenaikan kos

Harga ubat kekal stabil, KKM pantau bekalan dan kenaikan kos
Harga ubat kekal stabil, KKM pantau bekalan dan kenaikan kos

Dzulkefly bercakap kepada pemberita pada Khamis.

PARIT – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan harga ubat-ubatan di negara ini kekal stabil dengan kenaikan minimum sekitar satu hingga dua peratus sahaja setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan tersebut adalah dalam julat inflasi biasa dan tidak menunjukkan lonjakan mendadak seperti dibimbangi sebelum ini.

Menurutnya, kestabilan harga itu hasil kerjasama baik pemain industri termasuk Pharmaniaga dan Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) yang menyerap sebahagian peningkatan kos operasi.

“Sejauh ini, mereka telah menyerap dan menanggung peningkatan kos yang terkait termasuk penggunaan diesel.

“Dengan itu ubat-ubatan hari ini kekal dalam julat harga yang tidaklah melonjak. Kalau ada kenaikan pun sekitar satu hingga dua peratus sahaja dan kita harapkan ia kekal begini kerana kerjasama yang diberikan pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis perasmian Hospital Seri Iskandar di sini pada Khamis yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, Pasukan Petugas Khas Keselamatan Ubat dan Peranti Perubatan yang ditubuhkan KKM adalah bagi memantau bekalan dan harga ubat secara berterusan termasuk melalui mekanisme amaran awal bagi mengesan sebarang gangguan rantaian bekalan.

Katanya, pemantauan dilakukan secara mingguan melibatkan laporan masa nyata (real time) merangkumi aspek kecukupan bekalan, kos serta langkah susulan termasuk penyediaan stok penampan dan perancangan stok simpanan jangka panjang.

Tambah beliau, KKM turut mengambil langkah mempelbagaikan sumber bahan mentah termasuk Active Pharmaceutical Ingredient (API) serta komponen peranti perubatan bagi memastikan bekalan ubat kritikal sentiasa mencukupi.

“KKM juga menggerakkan pusat sehenti atau ‘nerve centre’ yang mengintegrasikan maklumat daripada fasiliti kesihatan awam, hospital swasta, klinik serta pemain industri bagi memastikan tiada gangguan khususnya melibatkan ubat kritikal,” katanya.

 

 

Scroll to Top