JAKARTA – Kebakaran tanah gambut di Indonesia yang terus membara di bawah permukaan tanah selama berminggu-minggu hingga berbulan-bulan mencetuskan jerebu toksik yang menjejaskan kualiti udara di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Singapura.
Fenomena dikenali sebagai ‘api zombi’ itu berlaku apabila lapisan gambut terus membara walaupun api di permukaan sudah berjaya dikawal, sekali gus menyukarkan usaha memadam kebakaran sepenuhnya.
Di beberapa kawasan di Borneo, Indonesia, penduduk berdepan jerebu tebal dan berbau busuk apabila kebakaran merebak di kawasan gambut berhampiran kediaman serta ladang.
Kebakaran gambut berbeza daripada kebakaran hutan biasa kerana api boleh merebak jauh di bawah permukaan tanah tanpa menghasilkan nyalaan.
Lapisan gambut yang kaya dengan karbon berupaya menyimpan bara untuk tempoh yang lama menyebabkan api terus membara dan berpotensi menyala semula selepas kebakaran di permukaan dipadamkan.
Keadaan itu menjadikan usaha mengesan dan memadam kebakaran lebih mencabar terutamanya apabila kawasan berkenaan mengalami kekurangan air.
Asap daripada kebakaran gambut mengandungi bahan pencemar berbahaya termasuk formaldehid, hidrogen sianida dan ammonia selain zarah halus PM2.5 yang boleh menembusi ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah.
Menurut penyelidikan Greenpeace, kebakaran tanah gambut menyumbang kurang daripada satu pertiga daripada keseluruhan kebakaran hutan di Indonesia, namun menjadi punca utama jerebu toksik yang melanda negara itu.
Susulan tekanan serantau yang semakin meningkat, Menteri Alam Sekitar, Jumhur Hidayat memberi jaminan kebakaran hutan dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh sebulan.
Menurutnya, anggaran masa itu dibuat berdasarkan perbincangan bersama Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) setelah menilai situasi semasa.
Jumhur mengakui usaha mengawal kebakaran masih berdepan beberapa halangan termasuk jarak penglihatan yang terhad sehingga menyukarkan penggunaan helikopter untuk operasi pengeboman air.
Ketika mengulas tawaran bantuan daripada negara lain, beliau berkata, pemerintah sedang meneliti setiap cadangan sebelum membuat keputusan.
“Kita perlu melihat terlebih dahulu bentuk bantuan yang ditawarkan dan sama ada ia benar-benar memberi manfaat dan bersesuaian,” ujarnya.
Kenyataan Jumhur senada dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman yang bertemu Presiden Prabowo Subianto dan mengesahkan tawaran bantuan asing masih belum dibincangkan.
Sebelum ini, Indonesia menerima tiga helikopter CH-47 Chinook bersama sejumlah anggota dan peralatan sokongan daripada Jepun selain serbuk pemadam api dari Brazil.
Misi bantuan dari Tokyo berakhir pada 29 September lalu selepas Jakarta menzahirkan penghargaan atas bantuan itu dan yakin dapat menangani kebakaran hutan dan tanah itu tanpa bantuan pihak luar. – Agensi



