KUALA LUMPUR: Penganjuran RHB LEKAS Highway Ride 2026 terus mendapat sambutan dalam kalangan peminat sukan berbasikal apabila seramai 4,528 peserta dari 27 negara mengambil bahagian dalam kayuhan malam itu.
Kayuhan yang berlangsung di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) menyaksikan laluan lebuh raya tersebut dibanjiri ribuan pengayuh yang menyertai empat kategori iaitu 105 kilometer (km), 78km, 17km dan 12km, semalam.
Memasuki edisi ke-11, LEKAS Highway Ride terus mengukuhkan kedudukannya dalam kalendar acara berbasikal tempatan, selain menawarkan pengalaman unik kepada peserta menerusi kayuhan di lebuh raya pada waktu malam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Mohd. Rashid Mohamad berkata, acara itu bukan sekadar medan persaingan, malah turut menjadi ruang untuk peserta menikmati aktiviti berbasikal bersama rakan mahupun keluarga.
“Berkayuh di lebuh raya tertutup pada waktu malam memberikan pengalaman yang berbeza berbanding aktiviti kayuhan lain, jalan yang terbuka luas serta kilauan lampu menjadikan ia lebih berbeza.
“Ada yang hadir untuk berlumba dan menguji kemampuan diri manakala ada juga yang sekadar mahu menikmati suasana malam bersama rakan dan keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Rashid yang turut menyertai kategori 17km turut merakamkan penghargaan kepada peserta, rakan kongsi serta penyokong yang terus memberikan sokongan terhadap acara itu selepas penganjuran terdahulu terpaksa ditangguhkan akibat jerebu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para peserta, rakan kongsi dan penyokong atas kesabaran kerana terpaksa tangguhkan kayuhan sebelum ini kerana jerebu, kami berbesar hati menyambut semula kehadiran anda,” ujar Rashid. – UTUSAN
The post LEKAS Highway Ride terus jadi pilihan pengayuh appeared first on Utusan Malaysia.