LATEST

Provokasi polis, berniaga tanpa permit: Thailand senarai hitam, keluar waran tangkap terhadap peniaga online Malaysia ‘Jae G’

Provokasi polis, berniaga tanpa permit: Thailand senarai hitam, keluar waran tangkap terhadap peniaga online Malaysia ‘Jae G’

am@hmetro.com.my

Baca juga: Asyik berjaga main ‘game’, isteri upah pemain lain ‘bunuh’ watak suami

Kuala Lumpur: Thailand mengarahkan tindakan undang-undang dan menyenaraihitamkan seorang peniaga dalam talian warga Malaysia yang dikenali sebagai ‘Jae G’.

Tindakan itu dibuat susulan kontroversi siaran langsung serta dakwaan bekerja tanpa kebenaran ketika berada di negara berkenaan dengan menggunakan visa pelancong.

Wanita itu turut mencetuskan kecaman meluas di Thailand dan Malaysia selepas didakwa berkelakuan tidak sopan terhadap seorang pengawal keselamatan wanita di sebuah pusat beli-belah, sebelum mengeluarkan kenyataan provokatif terhadap polis Thailand menerusi siaran langsung.

Jurucakap Biro Imigresen Thailand, Mejar Jeneral Choengron Rimpadee berkata, Pesuruhjaya Biro Imigresen, Leftenan Jeneral Noppasin Poolsawat, mengarahkan Bahagian Siasatan mengesan wanita terbabit dan menyiasat aktivitinya.

“Rekod imigresen menunjukkan wanita yang dikenal pasti sebagai Qi Fen Li itu memasuki Thailand menggunakan visa pelancong pada 19 November lalu sebelum kembali ke Malaysia pada 28 November.

“Hasil siasatan mendapati wanita itu dipercayai menjalankan aktiviti jualan menerusi siaran langsung ketika berada di Thailand tanpa mendapatkan permit kerja yang sah,” katanya yang dipetik menerusi media Thailand, Khaosod.com

Polis berkata, perbuatan itu dipercayai melanggar Seksyen 8 Dekri Darurat Pengurusan Pekerjaan Warga Asing 2017, yang melarang warga asing bekerja tanpa kebenaran atau di luar skop pekerjaan dibenarkan.

Kesalahan itu boleh dikenakan denda antara 5,000 (RM607) hingga 50,000 baht (RM6,070).

Selain itu, dia juga didakwa melanggar Seksyen 37(1) Akta Imigresen 1979, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga 10,000 baht (RM1,215) atau kedua-duanya sekali.

Choengron berkata, tindakan wanita itu juga boleh dijadikan untuk menghalangnya daripada memasuki Thailand mengikut Seksyen 12(8) Akta Imigresen, atas faktor ketenteraman awam dan moraliti susulan kandungan siaran langsungnya yang provokatif.

Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan itu membolehkan pihak berkuasa membatalkan kebenaran tinggal, memulakan prosiding jenayah dan mengusir wanita terbabit dari Thailand.

Bagaimanapun, memandangkan wanita itu sudah meninggalkan Thailand, pesuruhjaya imigresen mengarahkan pegawai penyiasat mendaftarkan kes jenayah secara rasmi berhubung dakwaan bekerja tanpa kebenaran serta mendapatkan waran tangkap.

Pihak berkuasa turut diarahkan menyenaraihitamkan wanita itu dan bakal berdepan tindakan tangkapan serta prosiding undang-undang sekiranya kembali memasuki Thailand.

Choengron menegaskan, Thailand terus mengalu-alukan kehadiran pelancong asing yang mengunjungi negara itu dengan niat baik.

Namun, katanya, warga asing yang melanggar undang-undang atau terbabit dalam kegiatan menyalahi peraturan akan berdepan tindakan undang-undang termasuk pengusiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news