am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 70 peratus cadangan pindaan terhadap Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 akan memberi fokus kepada aspek tadbir urus korporat yang baik termasuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan dalam organisasi itu.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pindaan itu perlu kerana akta sedia ada dilihat masih terbatas dalam kerangka tadbir urus era 1960-an selain memberikan pemusatan kuasa terlalu besar kepada Pengerusi dan Majlis MARA.
“Keadaan itu boleh mendedahkan institusi berkenaan kepada risiko salah guna kuasa, manipulasi dan penyelewengan sekiranya tidak dikawal melalui kerangka perundangan yang lebih jelas.
“Kalau kita lihat dalam konteks Akta MARA yang sedia ada dengan hanya pindaan-pindaan kecil sedangkan pemusatan kuasa kepada Pengerusi dan Majlis MARA itu terlalu besar. Saya boleh sahaja mempengaruhi ahli-ahli Majlis MARA misalnya mengesyorkan ‘kita peruntukkan RM100 juta untuk kepentingan saya atau kepentingan ahli Majlis.’
“Itu tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa kerana dari segi peraturannya, ahli Majlis boleh buat keputusan.
“Jadi 70 peratus daripada pindaan yang dicadangkan terhadap Akta MARA 1966 dalam RUU yang dicadangkan dibawa ke Jemaah Menteri dan kemudian kepada Parlimen adalah terkait dengan soal tadbir urus korporat yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Konsultasi Awam Rang Undang-Undang MARA 2026 di Hotel Premiera di sini, hari ini.
Katanya, antara cadangan utama dalam pindaan akta itu ialah mewujudkan organisasi tadbir urus yang diwajibkan di bawah undang-undang termasuk Jawatankuasa Audit MARA, Jawatankuasa Risiko MARA, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus MARA serta Jawatankuasa Pelaburan MARA.
“Pindaan itu juga akan memasukkan kriteria kelayakan dan kesesuaian bagi pelantikan ahli Majlis MARA selain memperjelaskan peranan dan mandat institusi berkenaan.
“Justeru, penggubalan Akta MARA 2026 bertujuan keperluan memperkukuh tadbir urus bagi memastikan institusi itu kekal berintegriti dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Beliau berkata, institusi sebesar MARA tidak boleh bergantung kepada individu tertentu semata-mata kerana pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada Pengerusi dan Ahli Majlis boleh membuka ruang kepada ketirisan serta manipulasi.
“Siapa-siapa boleh datang dan pergi, Ketua Pengarah boleh datang dan pergi, Ahli Majlis boleh datang dan pergi, tetapi institusi mesti kekal dengan tadbir urus yang tersusun dan teratur.
“Ini berikutan Akta MARA sedia ada memberi kuasa terlalu besar kepada Pengerusi dan Ahli Majlis sehingga keputusan boleh dibuat tanpa mekanisme semak dan imbang yang jelas.
“Sedangkan struktur tadbir urus yang baik memerlukan pemisahan kuasa antara pihak pengurusan yang diketuai Ketua Pengarah dan Majlis MARA sebagai badan yang menentukan dasar serta polisi organisasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam ekosistem MARA sedia ada, pemisahan kuasa antara lembaga dan pengurusan tidak dijelmakan secara jelas dalam akta menyebabkan aspek semak dan imbang tidak berlaku secara menyeluruh.
“Ini akan terdedah kepada salah guna, boleh diceroboh dan boleh dimanipulasi mengikut kepentingan individu.
“MARA ketika ini bukan lagi institusi kecil seperti ketika akta itu digubal pada 1966 kerana kini mengurus aset bernilai RM23 bilion selain mempunyai 345 institusi pendidikan serta sektor pelaburan dan pembangunan keusahawanan yang besar.
Katanya, pindaan itu penting bagi memastikan institusi MARA terus kekal kukuh walaupun berlaku pertukaran kepimpinan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




