Pindaan Akta Mara: Ahli Majlis tidak boleh pegang lebih dua jawatankuasa

Pindaan Akta Mara: Ahli Majlis tidak boleh pegang lebih dua jawatankuasa
Pindaan Akta Mara: Ahli Majlis tidak boleh pegang lebih dua jawatankuasa

Asyraf Wajdi (tiga dari kanan) menjawab soalan dikemukakan ketika sesi Konsultasi Awam RUU Mara 2026 di salah sebuah hotel di sini pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara)1996 akan menetapkan Ahli Majlis tidak boleh menganggotai lebih daripada dua jawatankuasa di institusi yang berusia 60 tahun itu pada masa akan datang.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha itu dibuat sebagai langkah pembaharuan bagi menangani konflik kepentingan.

“Dalam peruntukan baharu ini kita spesifikkan maksimumkan dua sahaja jawatankuasa yang (Ahli Majlis) lembaga boleh berada.

“Contohnya, Tan Sri Muhammad Ibrahim pengerusikan jawatankuasa pelaburan, dia boleh berada mungkin satu lagi jawatankuasa lain tapi dia tidak boleh berada dalam jawatankuasa yang hampir sama.

“Perkara itu (hadkan keanggotaan dalam jawatankuasa) diberikan perincian dalam akta itu,” katanya menjawab soalan dikemukakan wakil badan bukan kerajaan (NGO) ketika sesi Konsultasi Awam RUU Mara 2026 di sini pada Khamis.

Asyraf Wajdi dalam masa sama memberi jaminan, pindaan akta berkenaan juga akan terus memelihara hak orang Melayu dan bumiputera, meskipun berlaku perubahan kepimpinan serta tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan.

Ujarnya, langkah itu termasuk cadangan untuk meletakkan akta berkenaan secara jelas di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai hak istimewa, kedudukan dan kepentingan Melayu serta bumiputera.

“Dalam akta ini, kita akan pertimbangkan untuk meletakkannya di bawah Perkara 153. Kita akan bawa ke peringkat menteri untuk dibawa ke Jemaah Menteri sebelum diluluskan secara dasar dan dipersetujui sebelum ke Parlimen.

“Pemimpin boleh datang dan pergi, pengerusi boleh datang dan pergi, kerajaan juga boleh berubah, tetapi institusi mesti kekal dan hak Melayu bumiputera tidak boleh digadaikan,” katanya.

 

Scroll to Top