suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan dua remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang secara berasingan di sekitar Sungai Buloh dan Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan pertama diterima jam 3.54 petang, semalam, membabitkan kehilangan Nur Amani Damia Roslan, 15.
Katanya, remaja itu dilaporkan tiada di rumah sejak 17 Mac lalu pada jam 7.30 pagi di Batu 18 Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh.
“Remaja terbabit dianggarkan berketinggian 150 sentimeter (cm), berat 60 kilogram (kg), berkulit cerah dan berambut pendek.
“Kali terakhir dia dilihat memakai baju dan seluar berwarna gelap serta berselipar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, satu lagi laporan diterima pada jam 12.44 tengah malam tadi, membabitkan kehilangan Angel Ho Kha Suen, 15.
Katanya, remaja perempuan itu dilaporkan tiada di rumah sejak Ahad lalu pada jam 7.30 pagi di Kampung Subang, Shah Alam.
“Remaja itu dianggarkan berketinggian 152 cm berat 49 kg, berkulit cerah dan berambut lurus paras bahu berwarna sedikit perang.
“Dia kali terakhir dilihat memakai kemeja T berlambang warna hitam, seluar panjang biru gelap dan berkasut,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua remaja terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sarjan Muhamad Rais Azmi di talian 016-9495707.
© New Straits Times Press (M) Bhd




