KUALA LUMPUR – Homesoy bekerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menerusi kempen ‘Stop That Dot Together’ bagi memperluas akses kepada pengesanan awal kanser payudara, terutama dalam kalangan wanita berpendapatan rendah, menerusi penajaan 100 pemeriksaan mamogram percuma.
Inisiatif yang berlangsung dari Oktober hingga Disember 2026 itu turut merangkumi aktiviti saringan kesihatan komuniti di lokasi terpilih di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang.
Kerjasama tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan saringan serta membantu mengatasi halangan kewangan dan akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan yang menyebabkan sebahagian wanita menangguhkan pemeriksaan.
Pengarah Pemasaran Ace Canning Sdn Bhd, Chang Wan Ping berkata, masih ramai wanita menangguhkan pemeriksaan saringan kerana kekangan kewangan atau kesukaran mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Katanya, Homesoy mahu menggalakkan wanita mengutamakan kesihatan diri dan mengatasi kebimbangan berkaitan pemeriksaan saringan kanser payudara menerusi kempen berkenaan.
“Terlalu ramai wanita masih menangguhkan pemeriksaan saringan disebabkan kekangan kewangan atau akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan.
“Di Homesoy, komitmen kami melangkaui penyediaan nutrisi yang sihat kerana kami amat mengambil berat tentang kesejahteraan komuniti yang kami berkhidmat untuknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Wan Ping berkata, kerjasama dengan NCSM diharap dapat memupuk budaya saling menyokong supaya wanita lebih yakin menjaga kesihatan diri dan menggalakkan orang lain melakukan perkara yang sama.
Kanser payudara kekal sebagai kanser paling lazim dalam kalangan wanita di Malaysia, merangkumi lebih 30 peratus daripada keseluruhan diagnosis kanser dalam kalangan wanita.
Menurut data GLOBOCAN 2022 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira seorang daripada 20 wanita di Malaysia akan didiagnosis menghidap kanser payudara sepanjang hayat mereka.
Walaupun pengesanan pada peringkat awal memberikan kadar kelangsungan hidup lima tahun melebihi 90 peratus, Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia menunjukkan hampir separuh daripada kes kanser payudara di negara ini dikesan pada tahap tiga dan empat, iaitu peringkat lewat, apabila kadar kelangsungan hidup lima tahun merosot dengan ketara.

Homesoy menyokong pelaksanaan aktiviti saringan kesihatan komuniti di lokasi terpilih di seluruh negara bagi membantu wanita yang memerlukan.
Pengarah Urusan NCSM, Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Dr Murallitharan Munisamy berkata, kekangan kewangan dan kesukaran mendapatkan perkhidmatan kesihatan berhampiran tempat tinggal merupakan antara faktor utama wanita daripada komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan menangguhkan pemeriksaan sehingga penyakit berada pada peringkat lewat.
“Kerjasama dengan Homesoy membolehkan NCSM membawa perkhidmatan pemeriksaan klinikal bergerak terus ke kawasan perumahan, selain membiayai 100 pemeriksaan mamogram percuma menerusi Program Adopt-A-Mammogram.
“Memastikan akses yang sama rata kepada kaedah pengesanan awal amat penting kerana status sosioekonomi seseorang wanita tidak sepatutnya menentukan peluangnya untuk terus hidup selepas menghidap kanser,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, peserta yang menjalani pemeriksaan klinikal payudara (CBE) juga akan menerima Susu Soya Homesoy 3.0 bagi menggalakkan kesedaran tentang kesihatan dan kepentingan pemakanan yang betul.
Dalam pada itu, Ketua Unit Pemakanan Ace Canning Corporation Sdn Bhd, Soo Sek Yow berkata, pengambilan soya tidak menyebabkan kanser payudara, malah kajian menunjukkan pengambilan soya yang lebih tinggi berkemungkinan memberikan kesan perlindungan.
“Salah faham yang lazim timbul berkaitan isoflavon, iaitu sejenis fitoestrogen. Namun, bahan ini tidak sama dengan hormon estrogen manusia dan tidak bertindak dalam tubuh dengan cara yang meningkatkan risiko kanser payudara.
“Pengambilan susu soya berkualiti tinggi yang diperkaya dengan nutrien adalah selamat dan membekalkan nutrisi harian yang baik,” jelasnya.
Dirumus untuk menyokong kesejahteraan wanita dalam kehidupan seharian, Homesoy 3.0 mengandungi protein lengkap, serat pemakanan, kalsium dan vitamin D bagi membantu memenuhi keperluan nutrisi sebagai sebahagian daripada diet seimbang dan gaya hidup sihat.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen ‘Stop That Dot Together’ menerusi laman web https://www.homesoy.my/breast-cancer-initiative.



