sukan@hmetro.com.my
Kuching: Sorakan penyokong Kuching City FC bukan sesuatu yang mahu dielakkan Kitchee SC, sebaliknya dialu-alukan menjelang pertemuan Liga Juara-Juara AFC Two (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, esok.
Ketua jurulatih Kitchee, Iñigo Calderón, berkata suasana meriah di gelanggang lawan menjadi sebahagian daripada cabaran yang perlu dinikmati pemainnya pada aksi pertama di tempat lawan dalam kempen berkenaan.
“Lebih ramai orang datang, lebih baik. Lebih kuat sorakan, lebih baik. Kami tidak boleh takut dengan perkara itu,” katanya pada sidang media praperlawanan di stadium berkenaan, hari ini.
Calderón berkata, ketika bergelar pemain, perlawanan dengan sokongan penonton yang kuat adalah antara pengalaman yang sentiasa dinantikannya.
Malah, beliau bersedia berdepan keadaan apabila arahannya mungkin sukar didengari pemain akibat sorakan penyokong.
“Saya mengalu-alukan tekanan dan sorakan esok. Saya berharap ramai penyokong datang membuat bising kerana saya menyukainya,” katanya.
Bagaimanapun, Calderón mengakui Kuching City memiliki kekuatan di laman sendiri, selain pilihan pemain yang menyukarkan pihaknya menjangka kesebelasan utama skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.
Katanya, Kitchee mahu mengekalkan identiti permainan sendiri sambil mengambil kira ancaman pemain tuan rumah yang berada pada prestasi baik.
Beliau turut memaklumkan pasukannya tiba pada Isnin bagi memberi ruang menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan kelembapan di Kuching.
“Kami menghormati Kuching, tetapi kami datang untuk menang. Jika tidak, kami akan cuba mendapatkan satu mata,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




