Saya warga Portugal, tetapi saya milik Kerajaan Arab Saudi – Ronaldo

Saya warga Portugal, tetapi saya milik Kerajaan Arab Saudi – Ronaldo

Riyadh: Cristiano Ronaldo meluahkan sokongan dan kecintaannya terhadap Arab Saudi menerusi satu tindakan penuh makna selepas membantu Al Nassr menewaskan Neftchi Fergana 3-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Elit AFC.

Perlawanan yang berlangsung di Al Awwal Park, Riyadh, awal pagi hari ini, tertangguh selama sejam susulan amaran keselamatan di seluruh bandar itu.

Insiden berkenaan berlaku selepas laporan mengenai serangan peluru berpandu oleh kumpulan Houthi dari Yaman serta tindakan memintas sebuah dron.

Menurut media Portugal, bintang berusia 41 tahun itu dilihat mencium lambang kebangsaan Arab Saudi yang memaparkan pokok palma dan dua pedang pada jersi Al Nassr sebelum perlawanan bermula.

Selepas wisel penamat, Ronaldo menyarungkan selendang dengan bendera Arab Saudi di bahunya sebelum menyertai rakan sepasukan dalam rutin memberi tepukan kepada penyokong, lapor Goal.

Akaun media sosial rasmi Al Nassr dalam bahasa Arab turut memuat naik gambar Ronaldo memakai warna kebangsaan Arab Saudi dengan kapsyen:

“Saya warga Portugal, tetapi saya milik Kerajaan Arab Saudi.”

Akaun berbahasa Inggeris kelab itu pula memuat naik gambar Ronaldo meraikan kemenangan dengan selendang berkenaan berserta kapsyen: “Sebahagian daripada Arab Saudi, dibawa dekat ke hati.”

Kapsyen itu mengulangi kenyataan Ronaldo dalam temu bual bersama media Al Nassr pada Jun 2025, selepas beliau melanjutkan kontrak bersama kelab itu sehingga 2027.

“Seperti yang saya katakan banyak kali, saya warga Portugal, tetapi saya milik Arab Saudi,” katanya, menurut Gulf News.

Ronaldo kekal sebagai wajah utama bola sepak Arab Saudi sejak membuat perpindahan berprofil tinggi ke negara itu pada Januari 2023.

Di atas padang, Ronaldo turut menikmati malam yang gemilang apabila Al Nassr menguasai permainan sepenuhnya.

Angelo Gabriel membuka tirai jaringan pada minit ke-33 sebelum Ronaldo menggandakan kelebihan pada minit ke-42 menerusi penyudah tepat hasil bantuan Ayman Yahya.

Jaringan itu menyaksikan Ronaldo mengumpul 981 gol sepanjang karier profesionalnya, sekali gus hanya memerlukan 19 gol lagi untuk mencapai mercu tanda 1,000 gol.

Neftchi merapatkan jurang menerusi jaringan pada minit ke-51, namun peluang mereka untuk bangkit semakin tipis selepas Ikromjon Alibaev dilayangkan kad merah terus pada minit ke-65.

Al Nassr kemudian mengesahkan kemenangan 3-1 pada minit ke-78 apabila pertahanan Neftchi, Anvarjon Gofurov, tertanduk bola ke gawang sendiri.

Tindakan penuh emosi Ronaldo itu hadir ketika masa depannya bersama skuad kebangsaan Portugal menjadi persoalan susulan perselisihan terbaharu dengan jurulatih Jorge Jesus.

Buat masa ini, tumpuan Ronaldo kekal bersama Al Nassr dan negara yang dianggapnya sebagai tempat berteduh sejak hampir empat tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top