Penganggur maut ditikam akibat perselisihan vape 'mushroom'

Penganggur maut ditikam akibat perselisihan vape 'mushroom'

am@hmetro.com.my

Jasin: Seorang penganggur maut ditikam selepas berlaku pergaduhan akibat perselisihan faham berkaitan vape berperisa ‘mushroom’ di Taman Muhibbah Merlimau di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima laporan dua lelaki mengalami kecederaan mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus selepas salah seorang mangsa dipercayai menegur dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap sekumpulan individu.

“Salah seorang dipercayai berang dan menyerang kedua-dua mangsa menggunakan pisau, beberapa lagi suspek turut memukul mangsa menggunakan tangan.

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah Perodua Bezza sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merlimau dan dirujuk ke Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.26 tengah hari tadi ketika menerima rawatan akibat parah ditikam di belakang badan sehingga menembusi paru-paru kanan.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan empat lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Merlimau awal pagi tadi bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik selain tiga daripada mereka positif dadah methamphetamine,” katanya.

Katanya, polis turut merampas beberapa barangan kes termasuk pakaian dipercayai dipakai suspek serta sebilah pisau patah yang mempunyai kesan disyaki darah.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top