mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memantau isu kekangan dana membabitkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi memastikan agenda pembangunan akar umbi tidak terjejas.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, fokus utama kementerian ketika ini adalah memastikan setiap peruntukan yang disalurkan mampu mencapai sasaran serta objektif pembangunan ditetapkan.
Beliau berkata, KBS sentiasa bekerjasama dan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan program pembangunan bola sepak negara terus berjalan dengan baik.
“Kita akan sentiasa memantau perkara itu dan fokus utama adalah pembangunan sukan akar umbi itu sendiri khususnya program NFDP.
“Kita mahu memastikan peruntukan yang telah diberikan sebelum ini dapat mencapai sasaran dan tujuan utama. Itu yang paling penting,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masa depan bola sepak negara dilihat berada dalam situasi membimbangkan apabila NFDP kini berdepan kekangan kewangan serius sehingga sukar menghantar skuad pelbagai peringkat umur menyertai pendedahan antarabangsa.
Pendedahan mengejutkan itu disuarakan sendiri Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee yang mengakui program pembangunan akar umbi kini tidak lagi mampu melakukan jelajah luar negara seperti dilakukan sebelum ini.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan pemain muda negara terutama bawah 13 hingga bawah 17 tahun kehilangan platform penting untuk menimba pengalaman kompetitif di pentas antarabangsa.
Mengulas kemungkinan tambahan dana kepada NFDP, Mohammed Taufiq menjelaskan perkara itu masih di peringkat perbincangan dan belum ada sebarang keputusan dibuat setakat ini.
“Insya-Allah masih dalam perbincangan, tetapi belum ada keputusan.
“Buat masa ini kita masih kekal dengan peruntukan sedia ada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




