Satu lagi mayat PATI tragedi bot karam ditemukan, meningkat sembilan orang

Satu lagi mayat PATI tragedi bot karam ditemukan, meningkat sembilan orang

LUMUT: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) insiden bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Pulau Pangkor Isnin lalu, menemukan satu lagi mayat hari ini.

Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah mayat yang dijumpai setakat ini adalah seramai sembilan orang.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak dalam kenyataannya berkata, mayat lelaki itu ditemukan pada kedudukan 4.5 batu nautika ke barat daya Pulau Pangkor oleh aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sri Indera Sakti (KD SIS).

Katanya, mayat tersebut dijumpai pasukan penyelamat pada pukul 5.31 petang.

“Mayat mangsa diserahkan kepada Fast Combat Boat (FCB) 1002 pada pukul 6.25 petang untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Op Carilamat dilancarkan susulan kejadian sebuah bot yang membawa 37 PATI dari Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor di sini pada Isnin.

Aduan mengenai insiden itu diterima kira-kira pukul 5.30 pagi selepas seorang nelayan tempatan menemukan mangsa terapung di laut sebelum Op Carilamat diaktifkan pada pukul 6 pagi.

Seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia berjaya diselamatkan pada hari kejadian.

Setakat ini, lima mangsa masih hilang dan operasi mengesan kesemua mereka sedang giat dijalankan. – UTUSAN

Scroll to Top