am@hmetro.com.my
Tawau: Seramai 28 warga asing didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah terbabit sindiket penipuan love scam dan pelaburan dalam talian menyasarkan warga Korea Selatan.
Kesemua tertuduh membabitkan 27 warga China dan seorang warga Vietnam berusia antara 21 hingga 51 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum dan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam Bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama-sama melakukan pakatan jenayah memperdaya mangsa dengan penipuan love scam serta mengadakan pelaburan dalam penjualan produk kegunaan harian yang menyasarkan warga Korea.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di empat premis perumahan di Batu 10 Jalan Apas di sini pada jam 9.20 pagi, 6 Mei lalu, mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Terdahulu, peguam Choon Wen Shan yang mewakili kesemua tertuduh memaklumkan kepada kedua-dua Majistret bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan bersetuju untuk setiap tertuduh membayar denda RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




