Akses terhad laporan penuh EIA bagi lindungi maklumat sensitif – JAS

Akses terhad laporan penuh EIA bagi lindungi maklumat sensitif – JAS

Putrajaya: Laporan penuh Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) tidak tersedia untuk dimuat turun secara terbuka, bagi memastikan pematuhan melindungi hak milik dan hak cipta, keselamatan maklumat serta kepentingan keselamatan negara.

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), laporan EIA lazimnya mengandungi maklumat teknikal terperinci termasuk data lokasi strategik, infrastruktur kritikal, pelan pembangunan, koordinat tapak dan maklumat sensitif lain yang memerlukan kawalan akses sewajarnya.

Ia selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, peraturan-peraturan berkaitan serta prosedur operasi yang ditetapkan oleh JAS.

Jabatan itu bagaimanapun memaklumkan laporan EIA boleh diakses sepenuhnya sama ada secara dalam talian atau fizikal di lokasi pada tempoh semakan yang ditetapkan, bagi tujuan penelitian serta maklum balas awam semasa peringkat penilaian laporan dilaksanakan.

Akses kepada Ringkasan Eksekutif Laporan EIA untuk rujukan umum tersedia melalui platform yang ditetapkan berdasarkan permohonan dikemukakan, menurut JAS.

“Pendekatan ini dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan akses maklumat awam, perlindungan dokumen teknikal serta pematuhan kepada keperluan perundangan dan keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, sebuah portal media tempatan melaporkan kebimbangan badan bukan kerajaan berhubung ketelusan dan akses awam dalam cara JAS mengendalikan laporan EIA.

Laporan itu mendakwa pangkalan data EIA JAS kadangkala tidak dapat diakses dan butiran penting seperti kedudukan jadual yang merujuk kepada sesuatu EIA tidak lagi tersedia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top