am@hmetro.com.my
Seremban: Pemilik dua rumah mengalami kerugian kira-kira RM140,000 apabila enam beg tangan berjenama dirompak dalam kejadian awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian antara jam 1.20 hingga jam 3.30 pagi itu, suspek dikatakan memecah masuk tiga rumah jenis banglo di kawasan sama dekat S2 Height, di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkaitan kes itu pada Rabu dan Khamis lalu.
“Polis menerima tiga laporan polis mengenai kes ceroboh dan pecah rumah pada waktu malam di sebuah taman perumahan di S2 Height yang membabitkan tiga banglo tiga tingkat.
“Bagaimanapun, hanya dua rumah yang dikatakan berlaku kehilangan barang, manakala sebuah rumah lagi, hanya diceroboh sahaja.
“Siasatan dijalankan, mendapati mangsa mengalami kerugian enam beg tangan jenama Louis Vuitton yang dianggarkan bernilai RM140,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek adalah seorang lelaki tidak dikenal pasti berpakaian ‘hoodie’ gelap berlengan panjang.
“Suspek bertopi dan memakai pelitup muka serta bersarung tangan dikatakan masuk ke dalam rumah mangsa antara jam 1.20 pagi hingga 3.37 pagi,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini polis sedang menjalankan siasatan dan memburu suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh salurkan terus ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seremban di talian 06-6033222,” katanya.
Terdahulu tular satu video rakaman kejadian seorang lelaki bertopeng didakwa memecah masuk ke sebuah rumah yang mempunyai kawalan keselamatan ketat.
Malah rakaman turut menunjukkan suspek berani masuk dan memeriksa ke beberapa bahagian rumah sehingga ke bucu katil tuan rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




