am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Penutupan semua sekolah di daerah ini hari ini susulan Indeks Pencemar Udara (IPU) merekodkan bacaan sangat tidak sihat sejak malam tadi tidak menghalang pelajar untuk meneruskan sesi pembelajaran di rumah.
Rata-rata mereka memanfaatkan peluang itu untuk mengulang kaji pelajaran meskipun pihak sekolah menyediakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Esa, Nuruljannah Helmi, 14, dan Nur Farisya Mohd Fairus, 13, berkata, walaupun sekolah ditutup akibat jerebu, mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk mengulang kaji pelajaran.
“Pagi tadi guru sudah mengadakan PdPR dan kami terus menyambung ulang kaji pelajaran memandangkan peperiksaan akhir tahun tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan Rengit, Zubaidah Dapat berkata, pihak sekolah menerima arahan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk meneruskan pembelajaran menerusi PdPR.
Katanya, PdPR dilaksanakan melalui WhatsApp dan aplikasi lain membabitkan semua aktiviti pembelajaran murid secara maya.
“Pendekatan ini bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas memandangkan persekolahan ditutup akibat jerebu,” katanya.
Dalam pada itu, seorang ibu, Siti Zubaidah Othman berkata, dia bimbang dengan keadaan jerebu yang boleh menyebabkan anak-anak terdedah risiko kesihatan dan menyifatkan tindakan menutup sekolah sebagai langkah terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




