NEW DELHI – Perdana Menteri India, Narendra Modi menggesa rakyat negaranya menghentikan pembelian emas buat sementara waktu ketika ekonomi negara itu berdepan tekanan akibat perang di Asia Barat dan lonjakan harga tenaga global.
Gesaan itu dibuat selepas kerajaan India menggandakan lebih dua kali ganda tarif import emas dalam usaha mengurangkan aliran keluar dolar Amerika Syarikat (AS) serta melindungi rizab pertukaran asing negara.
India antara negara paling bergantung kepada laluan Selat Hormuz untuk mendapatkan bekalan minyak dan gas, manakala perang Iran menyebabkan kos import tenaga meningkat mendadak.
Dalam keadaan itu, kerajaan melihat pembelian emas sebagai beban besar kepada ekonomi kerana hampir keseluruhan bekalan logam berharga tersebut diimport menggunakan dolar AS.
India merupakan pengguna emas kedua terbesar dunia selepas China dengan import sekitar 600 hingga 800 tan setahun.
Permintaan tinggi terhadap emas menyebabkan lebih banyak dolar keluar dari negara itu sekali gus menekan nilai Rupee dan meningkatkan defisit perdagangan India.
Nilai Rupee juga dilaporkan susut kira-kira enam peratus berbanding dolar AS tahun ini.
Bagi masyarakat India, emas bukan sekadar barang kemas tetapi simbol status, simpanan keluarga dan jaminan kewangan terutama ketika musim perkahwinan serta perayaan.
Menurut anggaran Morgan Stanley, rakyat India menyimpan kira-kira 34,600 tan emas bernilai AS$5.2 trilion (RM20.4 trilion).
Kerajaan Modi berharap rakyat mengurangkan pembelian emas supaya India dapat menumpukan penggunaan rizab dolar kepada import lebih penting seperti minyak, gas petroleum cecair dan baja bagi menstabilkan ekonomi negara.-Agensi



