Malaysia tidak akan bantah Jho Low mohon pengampunan AS – Anwar

Malaysia tidak akan bantah Jho Low mohon pengampunan AS – Anwar
Malaysia tidak akan bantah Jho Low mohon pengampunan AS – Anwar

Anwar berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2026 (HBN 2026) Peringkat Kebangsaan pada Jumaat.

SEREMBAN – Malaysia tidak akan membantah sekiranya ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merupakan urusan dalaman kerajaan AS dan bukan sesuatu yang akan diusahakan oleh negara ini.

“Itu keputusan AS. Setakat ini kita tidak akan ke arah itu dan tidak akan menyokong mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2026 di sini pada Jumaat.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan membuat sebarang representasi rasmi kepada pihak berkuasa AS bagi membantah sekiranya pengampunan diberikan kepada Jho Low.

Jho Low dilaporkan sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Trump.

Memetik laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa, permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Jika permohonan itu diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.

Laporan berkenaan turut mendedahkan bahawa laman web Jabatan Keadilan (DoJ) AS menyenaraikan satu permintaan yang masih dalam proses di bawah nama Jho Low.

Menurut laporan itu, butiran permohonan tersebut dikategorikan sebagai ‘Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman’ (Pardon after Completion of Sentence) yang difailkan tahun ini.

Jho Low menjadi individu yang paling dikehendaki susulan dakwaan peranannya sebagai dalang utama dalam skandal penyelewengan dana berbilion ringgit milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat pelaburan strategik milik kerajaan Malaysia.

Scroll to Top