SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperkemaskan jentera organisasinya dengan melantik Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi bagi memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, Bersatu turut mengumumkan pengoperasian bilik gerakan utama atau ‘war room’ yang dilengkapi teknologi moden dan sistem operasi pilihan raya digital menerusi platform siber bermula 1 Jun ini.
Mesyuarat selama empat jam itu turut memberi fokus kepada perkembangan politik di Johor, di mana MPT mengarahkan Badan Pimpinan Negeri meningkatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) serta pihak lain yang bersedia membawa perubahan demi kemakmuran negeri tersebut.
Selain itu, Bersatu akan mengadakan sesi perbincangan strategik peringkat tertinggi melibatkan kepimpinan Johor, Negeri Sembilan, dan Melaka pada Jun ini bagi memperhalusi strategi baharu menjana sokongan rakyat.
Bagi memperkasakan gerak kerja lapangan, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengetuai urusan pengauditan dan penaziran menggunakan aplikasi Nadi di kawasan tumpuan bermula pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, MPT turut melantik Muhammad Hilman Idham sebagai wakil Bersatu dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional bagi membawa kesegaran kepimpinan muda dalam gabungan tersebut.
Dari segi pengurusan bahagian, MPT mengesahkan pelantikan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi sebagai Ketua Bahagian Lembah Pantai dan Datuk Safian Mohd Yunus sebagai Ketua Bahagian Bandar Tun Razak.
Kenyataan itu turut menyebut, usaha penerangan parti juga akan dipertingkatkan di bawah Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bagi memastikan jenama Bersatu yang prihatin dan pro-rakyat terus diyakini menerusi platform media sosial.



