JAKARTA – Bekas Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Anwar Makarim berdepan hukuman penjara 18 tahun atas dakwaan rasuah perolehan komputer riba bagi program pendigitalan pendidikan negara.
Tuntutan itu dikemukakan pihak pendakwaan dalam prosiding di Mahkamah Rasuah Jakarta Pusat, pada Rabu.
Jika diluluskan, hukuman penjara 18 tahun itu akan menjadi antara hukuman paling berat pernah dikenakan terhadap bekas menteri Kabinet Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pendakwa mendakwa Nadiem yang juga bekas pengasas syarikat teknologi Gojek, menyalahgunakan kedudukannya ketika menerajui Kementerian Pendidikan dengan meluluskan perolehan besar-besaran komputer Chromebook untuk sekolah.
Menurut pihak pendakwa, keputusan tersebut dibuat walaupun terdapat amaran dalaman mengenai kesesuaian peranti berkenaan, khususnya di kawasan luar bandar yang masih berdepan masalah capaian internet.
Kes itu didakwa menyebabkan kerugian negara melebihi 2.18 trilion rupiah (sekitar RM489 juta), selain melibatkan dakwaan pembelian pada harga yang dinaikkan serta pelanggaran prosedur tender awam.
Pendakwa turut menuntut denda serta pampasan berbilion rupiah yang boleh membawa hukuman penjara tambahan jika gagal dibayar.
Nadiem bagaimanapun menafikan semua pertuduhan dan menegaskan program tersebut bertujuan mempercepatkan transformasi pendidikan digital ketika pandemik Covid-19.
Beliau kini menunggu keputusan mahkamah yang dijangka diumumkan pada Jun ini, sekali gus menentukan sama ada bekas menteri itu akan berdepan hukuman penjara 18 tahun seperti yang dituntut pihak pendakwa.



