UMNO iktiraf UEC sejak 2018 – PKR

UMNO iktiraf UEC sejak 2018 – PKR

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan bahawa UMNO pernah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada tahun 2018.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan, Amidi Abdul Manan berkata, kebenaran untuk lulusan UEC melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) dibuat oleh kerajaan ketika itu.

“Bersungguh-sungguh pihak Pas memainkan naratif Kerajaan Madani tunduk dengan kehendak DAP untuk menutup serangan kepada Setiausaha Majlis Syura Dewan Ulama Pas, Nik Zawawi.

“Namun satu fakta yang kita perlu sedari, kebenaran untuk lulusan UEC melanjutkan pengajian ke IPTA dibuat pada tahun 2018 oleh parti Melayu terbesar iaitu UMNO,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau mendakwa Barisan Nasional (BN) yang diterajui Datuk Seri Najib Razak ketika itu amat terdesak untuk mendapatkan undi kaum Cina dengan mengembalikan MCA sebagai parti pilihan.

Tambah Amidi, UMNO turut bersetuju untuk melanjutkan pajakan 99 tahun kepada sebuah Sekolah Menengah Persendirian (SMP) Chung Hwa, Kuala Lumpur.

“Operasi sebuah universiti swasta dari Tanah Besar Cina juga mendapat kelulusan ketika negara diterajui oleh parti Melayu terbesar pada tahun 2018.

“Menteri Pendidikan Tinggi ketika itu juga datang dari parti UMNO iaitu Datuk Seri Idris Jusoh.

“Namun apakan daya, walau sebegitu hebat tawaran yang diletakkan dalam manifesto BN ketika itu, UMNO/BN akhirnya terpaksa meninggalkan Putrajaya,” katanya lagi.

Ujar beliau, UMNO perlu memberikan justifikasi terhadap keputusan yang pernah dibuat itu selaku parti mewakili Melayu.

Pada Khamis, kerajaan bersetuju membuka laluan kemasukan ke IPTA kepada pelajar lepasan sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) bagi mengikuti program pengajian tertentu.

Langkah itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan daripada pelbagai pihak terutama dalam kalangan pembangkang.

Scroll to Top