Kuala Lumpur: Belum reda kesedihan atas pemergian wartawan penyiaran terkenal Datuk Karam Singh Walia pada 6 April lepas, keluarganya sekali lagi diuji apabila anak sulung mendiang meninggal dunia pagi Rabu, hanya 38 hari selepas bapanya menghembuskan nafas terakhir.
Berita pemergian Sharonjit Kaur Walia, 44, itu disahkan suaminya, Kashminder Singh Sandhu yang memaklumkan mendiang meninggal dunia dalam tidur di kediaman mereka di D’Palma @ Taman Pinang Gading, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan kira-kira jam 8.15 pagi.
“Isteri saya meninggal dunia dalam tidur. Sebelum ini, beliau tidak mengalami sebarang masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Upacara penghormatan terakhir mendiang telah berlangsung semalam di kediaman mereka manakala upacara sembahyang akan diadakan pada 24 Mei ini di Gurdwara Sahib Seremban.
Kashminder berkata, isterinya adalah Pensyarah Kanan Bahasa Inggeris di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Port Dickson dan disifatkan sebagai pendidik berdedikasi yang banyak menyentuh kehidupan pelajar menerusi semangatnya dalam mendidik, selain sentiasa percaya terhadap potensi anak didiknya.
“Dia bukan sekadar mendidik minda tetapi turut menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajarnya, sekali gus meninggalkan legasi yang akan terus hidup dalam setiap insan yang pernah dibimbingnya,” katanya.
Pasangan itu dikurniakan dua orang anak berumur 10 dan 6 tahun.
Berita pemergian pensyarah berkenaan turut dikongsikan Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan menerusi media sosial institusi itu pada 13 Mei lalu.
“Hari ini warga Politeknik Premier Port Dickson amat berduka cita atas pemergian sahabat dan rakan sekerja kami, Puan Sharonjit Kaur Karam Singh, pensyarah di Jabatan Pengajian Am.
“Seluruh warga institusi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangan yang amat perit ini. Jasa, dedikasi dan kenangan bersama beliau akan sentiasa terpahat dalam ingatan,” menurut hantaran itu di Facebook.
© New Straits Times Press (M) Bhd




