Ipoh: Empat lagi mayat mangsa bot membawa migran warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor ditemukan hari ini, menjadik mn jumlah keseluruhan mangsa yang maut meningkat kepada 16 orang setakat ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, tiga daripada mangsa ialah lelaki dan dijumpai pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Pulau Buloh manakala satu lagi belum dikenal pasti identitinya dan ditemukan sekitar 21.4 batu nautika barat daya Pulau Sangga Kechil.
“Mayat yang belum dapat disahkan identiti itu dijumpai oleh pihak APMM melalui PERKASA 1238 sekitar sekitar 3 petang manakala tiga lagi dijumpai oleh Tentera Laut Diraja Malaysia sekitar 5.45 petang tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, jumlah mangsa yang diselamatkan ialah 23 orang manakala 16 lagi terkorban, menjadikan jumlah keseluruhan 39 setakat ini berbanding 37 seperti dilaporkan sebelum ini.
“Esok merupakan hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat dijalankan… sekiranya tiada lagi penemuan mayat, operasi berkenaan berkemungkinan ditamatkan,” katanya.
Insiden pada 11 Mei lepas menyaksikan sebuah bot yang dipercayai membawa migran warga Indonesia tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




