Nahas 3 beranak: 'Allahyarham Norawalysa guru berdedikasi'

Nahas 3 beranak: 'Allahyarham Norawalysa guru berdedikasi'

am@hmetro.com.my

Tanjong Karang: Guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Bestari Jaya, Allahyarham Norawalysa Mat Talpi, 44, yang maut dalam nahas dua kenderaan di Jalan Raja Muda Musa menghala ke Tanjong Karang, hari ini disifatkan guru yang berdedikasi dan komited dalam tugas.

Seorang penjaga, Saridon Ratiman, 58, berkata anak bongsunya, Nur Afeeya Nayla, 8, antara yang terakhir bertemu Allahyarham sebelum pulang dari sekolah.

Beliau berkata, Allahyarham adalah guru yang mengambil berat mengenai pelajaran muridnya selain disenangi warga sekolah.

“Cara arwah mengendalikan murid sangat unik, selain seorang pendidik yang tidak jemu mengajar. Kali terakhir anak berjumpa arwah ketika mahu pulang sekitar tengah hari tadi.

“Dia sempat melambai ke arah arwah sebelum kami bergerak pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Tanjong Karang, hari ini.

Saridon berkata, dia mendapat tahu kejadian menimpa Allahyarham kira-kira jam 3 petang.

Beliau berkata, dia sekeluarga berdoa agar keluarga Allahyarham diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.

Sementara itu, tinjauan di hospital mendapati puluhan orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Difahamkan, jenazah Norawalysa bersama dua anaknya, Auni Syazana, 12 dan Ahmad Syah Fawwaz, 8, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Serong malam ini.

Terdahulu, media melaporkan tiga individu yang maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dan lori disahkan sebagai anak beranak.

Nahas berlaku selepas Proton Exora dinaiki mereka merempuh belakang lori 20 tan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top