am@hmetro.com.my
Putrajaya: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Wilayah Persekutuan Putrajaya ditutup esok susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) memaklumkan, penutupan itu berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen pemantauan setakat jam 5 petang tadi.
“Institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.
“Ia hendaklah mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
JPWPP berkata, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan berkenaan, berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan.
Katanya, JPWPP bersiap sedia dan sentiasa memantau perkembangan bacaan IPU bersama institusi pendidikan terjejas untuk tindakan susulan mengikut garis panduan KPM.
Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga diseru supaya sentiasa prihatin terhadap makluman rasmi serta memberi kerjasama erat demi kesejahteraan anak-anak sepanjang situasi jerebu.
“Keutamaan JPWPP kekal terarah kepada keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan,” katanya.
From: jamil
© New Straits Times Press (M) Bhd




